RUSSELL menjawab soalan pada sidang media menjelang GP Abu Dhabi. FOTO EPA
RUSSELL menjawab soalan pada sidang media menjelang GP Abu Dhabi. FOTO EPA
Reuter

Abu Dhabi: Moral pasukan Mercedes semakin meningkat selepas kemenangan pertama Formula Satu (F1) musim ini di Grand Prix (GP) Brazil, hujung minggu lalu, dan mereka memburu pencapaian sama di Abu Dhabi, Ahad ini, kata George Russell.

Pemandu Britain berusia 24 tahun itu mendahului rakan sepasukan yang juga juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton untuk penamat satu dunia di Interlagos, selepas menang perlumbaan pecutan paa Sabtu dan mencatatkan masa pusingan terpantas.

Kemenangan di Sao Paulo itu adalah kejayaan sulung Russell dalam F1 dan ia hadir pada hujung musim keempatnya dalam sukan itu dan musim pertama bersama Mercedes.

Russell berkata, dia tidur sepanjang penerbangan dari Brazil ke Abu Dhabi dan sambutan pesta ditangguhkan sehingga perlumbaan terakhir musim di Yas Marina itu selesai.

"Saya selalu yakin mampu mengecapi kemenangan dan yakin boleh muncul sebagai juara dunia," katanya apabila ditanya mengenai perbezaan perasaannya.

"Sudah tentu, keyakinan semakin tinggi dan moral dalam pasukan terus melonjak. Tetapi, anda tahu, saya tidak merasakan transformasi kerana satu malam. Saya masih rasa sebagai pemandu sama seperti minggu lalu."

Russell berkata, Mercedes mahu menjadikan kemenangan kedua berturut-turut hujung minggu ini.

"Saya fikir kereta Austin menunjukkan prestasi sangat baik dan mungkin lebih baik daripada apa yang kami harapkan sebelum ini," katanya.

"(Juara dunia dua kali) Max (Verstappen) dan Red Bull pasti akan lebih pantas di sini. Saya fikir kombinasi selekoh dengan kelajuan rendah dan laluan lurus yang panjang sangat sesuai dengan kereta mereka.

"Tetapi, kita lihat di Brazil iaitu sirkit yang kami tidak jangka akan kompetitif, kami masih memandu dengan pantas. Jadi, ya, kami akan melakukannya sekali lagi."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 11:38 AM