HELMI dahului pelumba lain dengan 83 mata.
HELMI dahului pelumba lain dengan 83 mata.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Md Helmi Azman berdepan cabaran dalam mempertahankan kedudukan pendahulu kelas SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 pada Pusingan 3 di Litar Sugo, Jepun esok serta Ahad.

Ini kerana trek itu baharu buat dirinya namun pelumba Boon Siew Honda Racing Team itu berkata, dia tetap berusaha untuk mempamerkan tunggangan terbaik.

"Untuk Pusingan 3, saya sudah mempersiapkan mental dan fizikal dengan penyertaan di perlumbaan Suzuka 8 Jam 2022. Saya akan membawa pengalaman yang diraih di perlumbaan itu di Sugo dan akan memberikan yang terbaik.

"Sugo sangat baharu buat saya tetapi ia akan menjadi satu proses pembelajaran berguna buat saya juga. Semua pelumba mahukan yang terbaik. Oleh itu, saya jangka saingan akan menjadi kompetitif.

"Satu-satunya yang boleh kami lakukan sebagai seorang pelumba adalah mempersiapkan mental dan fizikal bagi mengatasi cabaran dengan harapan perlumbaan akan berlangsung dengan lancar.

"Sasaran saya untuk memperkemaskan lagi skil saya supaya dapat meraih kejayaan," kata Helmi.

Pada musim ini, dia sudah meraih dua kemenangan masing-masing di Perlumbaan 2 Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand dan Perlumbaan 2 Pusingan 2 di Litar Antarabangsa Sepang.

Helmi ketika ini mendahului carta pelumba kelas berkenaan dengan 83 mata manakala wakil SIC Racing, Md Ibrahim Norrodin berada di tangga kedua dengan 67 mata.

Pelumba Astra Honda Racing Team dari Indonesia, Andi Farid Izdihar berada di tangga ketiga, 60 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 6:09 PM