PEMANDU Ferrari, Charles Leclerc bersiap sebelum memulakan sesi latihan, semalam. FOTO REUTERS
PEMANDU Ferrari, Charles Leclerc bersiap sebelum memulakan sesi latihan, semalam. FOTO REUTERS
AFP

Budapest: Charles Leclerc melengkapkan 'dua pencapaian teratas' bersama Ferrari, semalam, apabila dia mengatasi pemandu McLaren, Lando Norris pada sesi latihan kedua menjelang perlumbaan Formula Satu Grand Prix (GP) Hungary, esok.

Pelumba Monegasque berusia 24 tahun itu membuktikan dia sudah pulih daripada trauma selepas kemalangan yang menyebabkannya tersingkir di GP Perancis, Ahad lalu, dengan mencatatkan masa terpantas sepusingan iaitu satu minit dan 18.445 saat.

Carlos Sainz yang mencatat masa terpantas bersama Ferrari pada sesi awal, menduduki tempat ketiga apabila ketinggalan 0.231 saat dan berada di depan juara dunia dari Red Bull, Max Verstappen manakala pemandu kedua Mc Laren, Daniel Ricciardo di tempat kelima.

Juara dunia dua kali, Fernando Alonso menduduki tempat keenam bersama Alpine pada hari lahirnya ke-41, di depan juara dunia empat kali yang akan bersara, Sebastian Vettel dari pasukan Aston Martin.

Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton menghadapi hari sukar apabila sekadar menduduki tempat ke-11 dan terus berdepan masalah tidak kestabilan jentera Mercedes.

Juara mengejut tahun lalu, Esteban Ocon menduduki tempat ke-13, tetapi mungkin mendapat galakan penyokong tuan rumah pada sesi kelayakan hari ini serta perlumbaan sebenar esok.

Dia memanfaatkan keadaan pada tahun lalu untuk merangkul kejuaraan penting dan yakin mampu mengulangi pencapaian sama di Budapest pada tahun ini.

Cuaca panas dan kering melanda Hungaroring, semalam, tetapi ramalan cuaca menjangkakan hujan lebat serta ribut bakal berlaku pada sesi kelayakan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 10:05 AM