HAMILTON berehat ketika sesi latihan kedua di Montreal.
HAMILTON berehat ketika sesi latihan kedua di Montreal.
AFP

Montreal: Lewis Hamilton berkata keretanya tidak boleh dipandu selepas berdepan pengalaman paling buruk dalam kariernya di Montreal ketika sesi latihan menjelang Grand Prix Kanada awal pagi tadi.

Juara dunia tujuh kali itu yang meraih kejuaraan sulung di Litar Gilles Villeneuve pada 2007 dan mencatat rekod tujuh kemenangan di trek sama hanya mampu tersenyum seleaps menduduki tangga ke-13 ketika sesi latihan kedua.

Namun dia mengakui jentera Mercedes bergelut musim ini dan sukar untuk berubah atau meningkat sepenuhnya untuk mencatat keputusan lebih baik.

"Inilah yang terjadi," katanya. "Ini bukanlah Montreal yang saya kenali dan sayangi. Ini kali pertama dan terburuk sejak beberapa tahun lalu dalam karier saya."

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan George Russell yang menduduki tempat ketujuh menggesa prestasi jentera ditingkatkan jika tak mahu terus ketinggalan dengan pencabar lain terutamanya Red Bull.

Ketua teknikal pasukan, James Allison berada di litar bagi membantu Mercedes mencari solusi mengatasi masalah mereka.

"Ini yang kami dapat dan kami perlu lakukan apa yang termampu," kata Hamilton. "Inilah untuk tahun ini."

Hamilton turut berkata dia berasa lega dapat menamatkan sesi latihan tanpa kecederaan selepas berdepan masalah belakang ketika perlumbaan di Baku minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 11:10 AM