HAMILTON meraih kemenangan mudah di Losail. FOTO EPA
HAMILTON meraih kemenangan mudah di Losail. FOTO EPA
AFP

Doha: Lewis Hamilton memenangi perlumbaan sulung Grand Prix (GP) Qatar selepas pemanduan cemerlang bermula dari petak utama untuk mengurangkan jarak dengan pendahulu keseluruhan, Max Verstappen kepada lapan mata.

Pemandu Mercedes yang juga juara dunia tujuh kali itu selesa mengetepikan seteru dari Red Bull di Litar Losail bagi menghangatkan lagi persaingan merebut kejuaraan dunia tatkala hanya berbaki dua lagi perlumbaan.

Selepas aksi sengit dan kemenangan luar biasa di Brazil, Hamilton sekali lagi mengecapi kejayaan dalam perlumbaan yang sangat mudah buatnya.

Sebelum ini peluangnya untuk memenangi kejuaraan dunia kali kelapan seakan padam selepas Verstappen memenangi perlumbaan di Amerika Syarikat dan Mexico, namun pelumba Britain berusia 36 tahun itu berjaya memperoleh kembali momentum.

"Saya tidak sabar melihat semula ulang tayang perlumbaan untuk mengetahui apa yang berlaku di belakang saya.

"Saya keseorangan di depan, sudah tentu anda akan berasa seronok berlumba dalam keadaan yang sengit tapi kami memerlukan mata untuk saingan kali ini.

"Ia tahun yang sangat sukar. Memenangi perlumbaan di sini, membuatkan saya rasa selesa, cergas dan paling cergas saya pernah rasakan. Tidak sabar untuk mengharungi dua lagi perlumbaan," kata Hamilton.

Verstappen yang terpaksa bermula di petak ketujuh selepas pelanggaran bendera kuning ketika sesi kelayakan, menduduki tempat kedua dan turut memperoleh mata hasil lap terpantas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 9:14 AM