HAFIZH ketika beraksi bersama pasukannya. FOTO NTS RW Racing GP
HAFIZH ketika beraksi bersama pasukannya. FOTO NTS RW Racing GP
Hamdan Saaid
sukan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah amat berharap peminat sukan motosikal di negara ini tidak mengecam atau mengutuk pasukan semasanya NTS RW Racing GP.

"Saya tahu korang yang minat moto mesti kecewa dengan pengumuman pasukan dan saya tidak sambung. Tapi tolonglah saya amat merayu kepada korang jangan kecam pasukan semasa saya di mana-mana media sosial, be positive guys!" tulisnya dalam nota terbaharu di laman Instagram.

Hafizh, 27, baru-baru ini mengesahkan musim 2021 adalah pembabitan terakhirnya beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Dia menyatakan ada beberapa faktor menyebabkan dia mengambil keputusan itu antaranya kegagalan menghasilkan keputusan seperti diharapkan bersama pasukan yang berpangkalan di Belanda itu.

Musim ini, dia hanya dua kali berjaya mengutip mata pada perlumbaan GP Perancis di Le Mans (menghuni tangga ke-15) dan GP Itali di Mugello (tangga kesembilan). Ia membolehkannya mengutip lapan mata setakat ini selepas bersaing dalam 15 perlumbaan.

STATUS di Instagram Hafizh. FOTO Hafizh Syahrin Abdullah
STATUS di Instagram Hafizh. FOTO Hafizh Syahrin Abdullah

Hafizh, yang pernah berlumba dalam kelas perdana MotoGP pada musim 2018-2019, turut memaklumkan faktor lain disebabkan kekangan kewangan kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Situasi semasa menyebabkan ada beberapa kalangan peminat dan warganet negara ini yang menyerang laman sosial pasukannya di Facebook kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pasukan itu tidak menyambung kontraknya.

Ada juga yang marah apabila Hafizh tidak beraksi pada perlumbaan Grand Prix Emilia Romagna di Litar Misano, Itali hujung minggu ini walhal pelumba itu sudah memberitahu dia tidak dapat bertanding kerana mahu menjaga datuk dan neneknya yang dijangkiti virus Covid-19.

"Insya-Allah jika ada rezeki Allah SWT saya akan buat yang terbaik untuk semua pada masa akan datang. Terima kasih semua kerana sokongan anda," kata Hafizh.

Pelumba berasal dari Kuala Lumpur itu juga berharap peminat motosikal di negara ini boleh menjadi contoh yang baik kepada negara lain sebagai penyokong.

"Nanti kalau ada penunggang Malaysia yang baru, saya pun akan jadi penyokong dia orang dan kita sokong sama-sama, ok!" tulis Hafizh yang dijangka kembali berlumba dalam dua perlumbaan terakhir musim ini di GP Algarve, Portugal (5-7 November) dan GP Valencia, Sepanyol (12-14 November).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 1:25 PM