Aksi Syarifuddin Azman ketika menunggang motosikalnya.
Aksi Syarifuddin Azman ketika menunggang motosikalnya.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman memasang impian untuk memperoleh gelaran 'Rookie of the Year' pada penampilan sulungnya di Kejuaraan Motosikal Dunia 2022.

Walaupun dilihat sasaran itu mungkin bakal berhadapan dengan cabaran sengit namun Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok tetap positif mampu mencapainya berdasarkan kepada prestasi dan persaingan daripada peserta lain.

Damok berkata, pesaing lain dalam saingan kelas Moto3 musim depan kebanyakannya individu sama yang menyertai Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia bersamanya pada musim ini sekali gus tidak berhadapan masalah untuk memperoleh keputusan positif.

Syarifuddin Azman
Syarifuddin Azman

"Pencabar saya ramai (untuk Rookie of the Year Moto3 2022), (pelumba) sama juga yang berlumba di CEV.

"Ramai yang dari CEV diangkat ke Kejuaraan Dunia (Moto3) untuk berlumba tahun depan. Apapun saya akan tetap memberikan saingan dengan mereka dan memang saya akan 'potong' mereka." katanya.

Sebelum ini, pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin mengesahkan mengenai penampilan sulung Damok di Kejuaraan Dunia 2022 dan satu pengumuman mengenai pasukan yang bakal disertai akan diumumkan pada 15 Oktober ini.

Mengulas mengenai pasukan yang bakal disertai, Damok mahu peminat sukan permotoran negara menunggu 'berita' berkaitan perkara itu dalam masa terdekat ini.

"Pasukan ini menyertai semula Kejuaraan Dunia pada tahun depan dan saya akan memasuki pasukan ini. Sesiapa yang nak tahu mengenai pasukan itu, nantikan pada 15 Oktober ini." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 5:25 PM