ZULFAHMI (kanan) mahu memastikan Adam beraksi di Kejohanan Dunia musim depan. FOTO SIC Racing Team.
ZULFAHMI (kanan) mahu memastikan Adam beraksi di Kejohanan Dunia musim depan. FOTO SIC Racing Team.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Masa sudah suntuk dan tempat pula semakin terhad namun Pengurus SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin tetap positif dua pelumbanya, Adam Norrodin dan Syarifuddin Azman mempunyai peluang beraksi di Kejuaraan Dunia tahun depan.

Meskipun dilihat sukar memandangkan hampir 90 peratus tempat sudah diisi baik dalam saingan Moto2 dan Moto3, namun bekas pelumba negara itu percaya masih ada ruang yang boleh dilakukan bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

"Jujurnya sewaktu di Silverstone (Grand Prix British), saya bersama Adam dan sudah pun 'mengetuk pintu' semua pasukan, namun 90 peratus tempat (dalam mana-mana pasukan) penuh.

"Jadi ada sesetengah tempat yang masih boleh (dirunding) tetapi mereka nak jawapan secepat mungkin. Sekarang ini, terpulanglah kepada SIC (Litar Antarabangsa Sepang) kerana sudah melakukan tugasan saya iaitu perbincangan.

"Namun saya rasa, kita juga kena melihat prestasi pelumba kita. Saya fikir, kita kena lihat semula adakah berbaloi untuk menghantar Adam ke Kejuaraan Dunia semula, adakah berbaloi Damok (Syarifuddin) ke Kejuaraan Dunia tahun depan, adakah ia terlalu awal," katanya.

Selain itu, Zulfahmi berkata, beliau mengharapkan dua pelumba terbabit mendapat tempat secepat mungkin dan bersedia untuk mengharungi perlumbaan akan datang.

"Apabila kembali ke Malaysia minggu depan, baru saya boleh betul-betul berbincang dengan SIC dan menganalisis data keputusan mereka. Namun daripada pandangan saya, memang saya nak pelumba Malaysia kita daripada SIC Racing ini ke Kejuaraan Dunia iaitu Adam dan Damok.

"Walaupun mungkin kita tak boleh menghantar kedua-duanya, mungkin saya harap ada satu tempat untuk Damok. Dalam pada itu, untuk tempat di Moto3 memang penuh.

"Seperti KTM, kita tak boleh kerana mereka mempunyai pelumba sendiri. Saya fikir sekarang ini saya minta bantuan dengan Datuk Razlan supaya beliau boleh berbincang dengan Dorna. Saya rasa beliau lagi kukuh untuk terus berbincang dengan Dorna, kalau menerusi team ini, mungkin (laluannya) sedikit sukar," katanya.

Ketika minggu perlumbaan GP British menyaksikan Adam menggantikan tempat dalam kelas Moto2 Petronas Sprinta Racing, Zulfahmi menggunakan peluang itu untuk mencari tempat dalam pasukan yang bertanding dalam kelas Moto2 dan Moto3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 6:58 PM