HAFIZH Syahrin Abdullah. FOTO Ihsan NTS RW Racing GP
HAFIZH Syahrin Abdullah. FOTO Ihsan NTS RW Racing GP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah ternyata kecewa tidak meraih sebarang mata di Litar Sachsenring dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman, semalam.

Menurut pelumba NTS RW Racing GP, dia tidak dapat menggunakan sepenuhnya potensi yang ada pada jenteranya sama seperti di lakukan di Litar Mugello di GP Itali bulan lalu.

"Bagi perlumbaan kali ini saya menyedari bahawanya treknya sangat pendek dan banyak sudut sempit yang menghadkan penguasaan jentera," katanya yang sekarang ini memungut lapan mata selepas lapan perlumbaan.

Ujarnya, tidak seperti di Mugello di mana dia berjaya mempamerkan tunggangan yang lebih bagus disebabkan litar lebih besar dan tidak banyak selekoh sempit.

"Barcelona dan trek di sini lebih kurang sama, cuma di sini lebih pendek dan banyak selekoh sempit jadi ia tidak membantu saya mendapat kedudukan lebih baik.

"Saya mudah hilang cengkaman terutama ketika mula memacu jentera dengan lebih laju. Saya juga bergelut ketika ingin keluar selepas selekoh dan ternyata saya tidak memiliki potensi yang sama seperti di Mugello.

Hafizh yang memulakan perlumbaan di petak ke-26 berjaya menamatkan perlumbaan dengan menduduki tempat ke-17.

"Pada perlumbaan akan datang saya harap dapat mengatasi masalah ini, terutama sekali apabila beraksi di gelanggang sendiri pasukan saya di Litar Assen, Belanda.

"Apa pun saya minta maaf kerana tidak dapat meraih mata di sini, memang bukan rezeki saya tapi saya akan cuba yang terbaik pada perlumbaan akan datang," kata bekas pelumba MotoGP itu.

Sementara itu rakan sepasukan Hafizh, Barry Baltus dari Belgium berjaya meraih mata sulung selepas empat perlumbaan dengan menduduki tempat ke-14.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 4:39 PM