VERSTAPPEN akui kecewa gagal memenangi perlumbaan. FOTO EPA
VERSTAPPEN akui kecewa gagal memenangi perlumbaan. FOTO EPA
AFP

Baku: Max Verstappen berasa sangat kecewa apabila tayar jenteranya yang pecah menyebabkan dia terlepas peluang untuk muncul juara di Grand Prix (GP) Azerbaijan.

"Adakalanya anda akan rasa sangat benci pada sukan ini," kata pelumba Red Bull itu selepas terbabit dalam kemalangan di hujung saingan pada perlumbaan keenam musim ini.

Selepas keluar dari jenteranya, Verstappen dilihat menendang tayar belakang kiri sebagai tanda melepaskan kekecewaan.

Dia yang memulakan perlumbaan di barisan kedua, berjaya memberikan pemanduan cemerlang selepas meninggalkan pesaing lain tatkala berbaki lima pusingan sehinggalah nasibnya kurang baik apabila terbabas di laluan lurus bersebelahan pit.

Bagaimanapun, dia masih lagi mendahului saingan keseluruhan dengan kelebihan empat mata di depan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton.

"Sangat kecewa, sudah hampir untuk menamatkan perlumbaan tapi terpaksa meninggalkan saingan selepas tayar pecah.

"Sungguh memalukan. Adakalanya anda boleh rasa benci dengan sukan ini tapi selepas beberapa jam semuanya kembali tenang," katanya.

Bagaimanapun, dia memuji rakan sepasukannya dari Mexico, Sergio Perez yang memenangi perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 2:01 PM