HAFIZH gagal tamatkan perlumbaan minggu lalu.
HAFIZH gagal tamatkan perlumbaan minggu lalu.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas berakhir perlumbaan sulung di Grand Prix (GP) Qatar hujung minggu lalu, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah masih lagi bersemangat untuk mencari keserasian dengan jenteranya.

Menjelang perlumbaan kedua di lokasi sama iaitu di Litar Antarabangsa Losail hujung minggu ini pelumba NTS RW Racing GP berharap dapat pelajari secepat mungkin untuk mendapat penyesuaian dengan jenteranya.

"Hujung minggu ini saya harap dapat buat yang terbaik dan memahami jentera secepat mungkin walaupun tidak banyak maklumat saya dapat. Walaupun masih sukar namun saya masih lagi bersemangat dan harap mampu tingkatkan persefahaman dengan jentera," kata bekas pelumba MotoGP itu.

Hafizh yang kali pertama beraksi dengan menggunakan jentera NTS gagal menamatkan perlumbaan selepas mengharungi sembilan pusingan.

"Bagi saya perlumbaan minggu lepas agak kurang baik. Pada awal perlumbaan saya bergelut mengawal jentera terutama di selekoh. Agak sukar buat saya untuk segera memecut selepas mengharungi selekoh.

''Pada pertengahan perlumbaan saya cuba mencari sesuaikan diri dan fahami dengan keadaan jentera di bahagian belakang. Bagaimanapun, enjin motosikal saya tiba-tiba terhenti dengan sendiri.

"Bateri saya tidak dapat membekalkan tenaga menyebabkan enjin tiba-tiba terhenti. Memang agak terkilan kerana saya memerlukan tempoh yang lama untuk menyesuaikan diri dengan jentera," katanya.

Dalam perlumbaan berkenaan menyaksikan pelumba Elf Marc VDS Racing, Sam Lowes muncul juara manakala tempat kedua diraih Remy Gardner dari Red Bull KTM Ajo dan Fabio DI Giannantonio (Federal Oil Gresini Moto2) meraih tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 5:16 PM