ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di litar berkenaan. FOTO AFP
ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di litar berkenaan. FOTO AFP
AFP

Buenos Aires: Sebahagian litar yang menganjurkan perlumbaan Grand Prix (GP) Argentina musnah selepas terbabit dalam kebakaran.

Litar Termas de Rio Hondo adalah tempat paling diingati buat peminat pemotoran negara selepas Khairul Idham Pawi mencatat sejarah memenangi kejuaraan dunia pertama Malaysia bagi saingan Moto3 pada 2016.

"Agak malang sekali, semua tempat duduk berbumbung musnah. Ia juga termasuk bilik media, bilik kawalan perlumbaan dan bilik VIP.

"Ia memang mengambil masa untuk membina semula kemudahan ini bagi perlumbaan tempatan dan antarabangsa," kata pemilik litar yang terletak di wilayah utara Santiago del Estero, Hector Farina.

Berdasarkan jadual asal perlumbaan sepatutnya berlangsung April depan bagi saingan GP Argentina namun ia ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

BANGUNAN (kiri) yang menempatkan bilik media, bilik kawalan perlumbaan dan paddock pasukan musnah dalam kebakaran itu. FOTO AFP
BANGUNAN (kiri) yang menempatkan bilik media, bilik kawalan perlumbaan dan paddock pasukan musnah dalam kebakaran itu. FOTO AFP

"Kami akan terus melakukan kerja pembaikan dengan segera agar dapat mengikut jadual saingan yang dirancang termasuk saingan MotoGP November depan," kata Farina.

Bagaimanapun, belum ada tarikh rasmi berkenaan perlumbaan di GP Argentina setakat ini.

Api mula merebak pada jam 10 malam waktu tempatan dan puncanya masih belum diketahui.

Seramai 70 anggota bomba dikejarkan untuk memadam kebakaran dan ia berjaya dipadamkan pada jam 4.30 pagi.

Usaha memadamkan kebakaran itu juga menyebabkan dua anggota bomba mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, muzium pemotoran yang berada di bangunan sebelah tidak mengalami sebarang kerosakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 9:23 AM