HAMILTON bakal terima darjah kebesaran sempena sambutan tradisi tahun baru di Britain. FOTO Agensi
HAMILTON bakal terima darjah kebesaran sempena sambutan tradisi tahun baru di Britain. FOTO Agensi
AFP

London: Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton berada dalam senarai penerima darjah kebesaran 'knight' dalam upacara tradisi Britain Penghormatan Tahun Baharu selepas berjaya menyamai rekod Michael Schumacher dengan tujuh gelaran Formula Satu (F1).

Senarai berkenaan mengiktiraf pencapaian menakjubkan buat individu dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan, sukan dan politik selain menyumbang kebajikan kepada sejumlah besar rakyat.

Banyak penghormatan diberikan tahun ini untuk mereka yang mencari penyelesaian terhadap masalah akibat Covid-19 yang masih belum berkurangan.

Hamilton, 35, mengatasi rekod dimiliki Schumacher jumlah keseluruhan kejuaraan sepanjang karier selepas memberikan aksi terbaik musim 2020 yang dipendekkan kerana pandemik berkenaan.

Kumpulan penggubal undang-undang Britain bulan lalu meminta Perdana Menteri, Boris Johnson mengesyorkan gelaran berkenaan buat pemandu F1 itu yang membawa gelaran 'Sir'.

Hamilton, yang menetap di Monaco, berdepan pemantauan sebelum ini kerana masalah cukai namun menegaskan dia membayar sejumlah wang mencukupi kepada cukai Britain.

Dia sebelum ini lantang menyuarakan sokongan untuk keadilan, kepelbagaian dan alam sekitar selain membuat kenyataan kukuh berhubung hak kemanusiaan berkaitan demokrasi dan perkauman.

Hamilton menjadi pemandu F1 keempat yang menerima anugerah berkenaan selepas Sir Jack Brabham, Sir Stirling Moss dan Sir Jackie Stewart.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 11:31 AM