DANIEL (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan bernilai RM10,000 kepada Karamjit Singh (kanan). FOTO Bernama
DANIEL (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan bernilai RM10,000 kepada Karamjit Singh (kanan). FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hasrat pelumba legenda rali negara, Karamjit Singh untuk kembali berlumba akhirnya menjadi kenyataan.

Ia selepas sebuah syarikat, DGJ Capital Sdn Bhd menerusi pengarah eksekutifnya, Datuk Daniel Yew sudi untuk menajanya sejumlah RM10,000 bagi membolehkan Karamjit berlumba di Terengganu Sprint Rally (TSR) 2021 yang dijadual bermula 26 Februari tahun depan.

Karamjit atau nama gelarannya The Flying Sikh pada sidang media hari ini nyata gembira dengan perkembangan terbaharu itu dan tidak sabar untuk kembali beraksi.

"Saya akan gunakan wang tajaan ini untuk membaiki kereta Proton Gen2 saya. Sekarang ini kereta itu saya letakkan di rumah dan sudah dua tahun tak pakai.

"Jadi saya akan siapkan kereta itu untuk perlumbaan rali Februari ini," katanya.

Jelas Karamjit, jumlah tajaan itu sememangnya masih tidak mencukupi namun ia sudah cukup baik untuknya kembali berlumba semula.

"Memang saya perlukan lebih dana lagi tapi untuk permulaan, saya sudah boleh gunakan wang itu untuk buat persediaan kereta. Kalau ikutkan saya perlu lebih kurang RM40,000 sebab nak ganti tayar, betulkan kotak gear dan sebagainya lagi," katanya.

Mengulas hasratnya untuk berlumba di Perlumbaan Rali Asia Pasifik (APRC) pada tahun depan, Karamjit berkata ketika ini beliau sedang berusaha untuk mencari penaja termasuklah pengeluar kereta yang sanggup untuk menajanya.

"Ketika ini masih lagi dalam perbincangan dengan semua pengeluar tapi mungkin bukan (memandu) Proton Iriz. Mungkin Toyota atau Mazda.

"Tapi secara peribadi saya memang suka memandu Proton sebab sudah menggunakannya lebih 20 tahun dan ia mempunyai nilai sentimental kepada saya.

"Nampak macam ada harapan (untuk berlumba di APRC)," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, Karamjit terpaksa menjual kereta kesayangan, Proton Waja pada harga RM7,000 bagi mendapatkan modal membeli kereta baharu untuk bekerja sebagai pemandu Grab demi meneruskan kelangsungan hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 6:29 PM