JUARA wanita Geraldine Wong (kiri), Pengurus Besar Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM), Nik Mustapha Nik Mohamed, juara lelaki Nasrullah dan pemain terbaik amatur Isaac To bergambar secara berkumpulan selepas selesai majlis penyampaian hadiah di Piala Hilux di Sabah Golf & Country Club, hari ini.
JUARA wanita Geraldine Wong (kiri), Pengurus Besar Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM), Nik Mustapha Nik Mohamed, juara lelaki Nasrullah dan pemain terbaik amatur Isaac To bergambar secara berkumpulan selepas selesai majlis penyampaian hadiah di Piala Hilux di Sabah Golf & Country Club, hari ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Nasrullah Zulkifli melakar kejutan apabila menjuarai Piala Hilux selepas mengetepikan barisan pemain profesional negara termasuk Ben Leong.

Berdepan situasi getir pada lubang terakhir, Nasrullah, 26, tenang menyempurnakan putt birdie bagi menamatkan pusingan terakhir di Sabah Golf & Country Club dengan catatan par 72 dan lima bawah par 211 secara keseluruhan.

Ini membolehkan Nasrullah mengatasi anak jati Sabah Ben yang cuba memberikan cabaran sengit pada saat akhir dengan hanya dipisahkan dengan satu pukulan.

Ben merekodkan 68 terpaksa berpuas hati selaku naib juara sekali gus dinafikan kejuaraan kedua Jelajah Toyota berturut-turut selepas mengungguli Piala Fortuner di Sibu bulan lalu.

Nasrullah bermula cemerlang dari hari pertama lagi apabila membenam 68 untuk berkongsi kedudukan pendahulu sebelum berjaya mengekalkan posisinya di kemuncak secara solo pada hari berikutnya dengan catatan 71.

"Menakjubkan. Saya langsung tidak jangka yang saya akan muncul juara.

"Sebaik putt birdie saya masuk, saya seolah-olah tidak percaya bahawa saya berjaya melakukannya.

"Ia memang mendebarkan kerana saya tahu Ben sudah menamatkan saingan terlebih dahulu dan berjaya menyamakan kedudukan. Jadi jika saya tidak dapat memperolehi birdie itu, maka kejuaraan harus ditentukan melalui playoff," kata Nasrullah.

Terdahulu, Nasrullah mengharungi prestasi tidak menentu pada sembilan lubang pertama yang menyaksikan dia tercicir tiga pukulan termasuk bogey berganda pada lubang keenam.

Dua birdie pada lubang kedua dan kelapan bagaimanapun dapat mengurangkan impaknya untuk dia terus mendahului memasuki sembilan lubang terakhir.

Kejayaan hari ini memberi impak yang besar kerana dapat menyakinkan Nasrullah untuk meneruskan kariernya selaku pemain professional.

"Saya sebenarnya memberikan diri saya masa sehingga hujung tahun ini (menilai statusnya sebagai pemain profesional).

"Namun selepas menang hari ini, saya tahu bahawa saya memang boleh terus memberikan cabaran. Saya memutuskan untuk terus bertanding sebagai pemain pro," katanya.

Juara Piala Vios pada bulan Mei, Paul San (72) menghuni tangga ketiga dengan catatan keseluruhan 213 manakala dua lagi nama terkemuka Shahriffuddin Ariffin (71) dan Daeng Abdul Rahman Abdul Aziz (74) melengkapkan kedudukan lima teratas dengan skor 214.

Saingan wanita menyaksikan kejuaraan menjadi milik Geraldine Wong selepas mendominasi tangga teratas dengan tujuh pukulan mengatasi Aretha Pan.

Keputusan

Lelaki (10 teratas)

211: Nasrullah Zulkifli 68-71-72;

212: Ben Leong 72-72-68;

213: Paul San 70-71-72;

214: Shahriffuddin Ariffin 73-70-71, Daeng Abdul Rahman Abdul Azia 73-67-74;

215: Casper Loh 70-72-73, Fakhrul Akmal 70-70-75;

217: Nicholas Fung 74-73-70, Amir Nazrin Jailani 68-74-75;

218: Wilson Choo 72-73-73.

Wanita (tiga teratas)

227: Geraldine Wong 77-76-74;

234: Aretha Pan 82-76-76;

239: Durriyah Damian 79-78-82.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 8:53 PM