ASNAWI (dua dari kanan) menerima hadiah daripada Presiden Persatuan Perahu Layar Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid (dua dari kiri). FOTO HAMZAH OSMAN
ASNAWI (dua dari kanan) menerima hadiah daripada Presiden Persatuan Perahu Layar Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid (dua dari kiri). FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Pelayar Sabah, Muhammad Asnawi Iqbal Adam muncul juara kategori Laser Radial (ILCA 6) Lelaki pada Kejohanan Pelayaran Belia Langkawi (LYSC) Kali Ke-3 2024 di sini, petang ini.

Pemenang pingat gangsa sukan pelayaran buat negara di Sukan Asia ke-19 Hangzhou, China tahun lalu itu mengumpul 10 mata meninggalkan pencabar terdekat, Muhammad Zafir Mohd Zailan dari Selangor (15 mata).

Tempat ketiga disandang atlet pelayaran Perlis, Ammar Azali dengan catatan 25 mata.

Nur Adlina Nasreen Mohd Nasri juga dari Perlis dan penyumbang pingat gangsa buat negara dalam sukan perahu layar di Sukan Sea Kemboja tahun lalu muncul juara Laser Radial (ILCA 6) Wanita selepas mengumpul 9 mata.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang Aina Zulaikha Azizul Rahman (Selangor, 19 mata) dan Nur Ku Zarith Jaafar (Wilayah Persekutuan, 30 mata).

Pelayar Terengganu, Al Jazimin Afif Zulkifeli yang memperoleh 13 mata muncul juara ketegori RS One Lelaki dengan kelebihan satu mata ke atas pencabar terdekat, Izry Hafiezy Fitri Azri (Kedah, 14 mata).

Tempat ketiga disandang atlet pelayaran Indonesia, Deva Bhadi Kurniawan dengan catatan 16 mata.

Bagi kategori RS One Wanita, atlet dari Sarawak, Nur Alya Husna Mohd Tariki dan Nur Kamelia Ahmad Zulkifli dari Pahang menduduk tempat pertama dan kedua selepas masing-masing mengumpul tujuh dan 15 mata.

Tempat ketiga menjadi milik atlet pelayaran Perak, Siti Hajar Zainal dengan catatan 20 mata.

Seramai 220 dari lima negara menyertai kejohanan edisi ketiga itu yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Perahu Layar Kedah, Kementerian Belia dan Sukan serta Lembaga Pembangunan Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 9:19 PM