PEMANGKU Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Mohamad Najeeb Abdullah (hadapan) bergambar bersama atlet boling negara, Wan Zarif Ikram (tengah) dan Ethan Damien Goh (kanan) serta atlet boling Hong Kong, Jovi Ma (kiri) selepas Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 di Sunway Pyramid hari ini. FOTO BERNAMA
PEMANGKU Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Mohamad Najeeb Abdullah (hadapan) bergambar bersama atlet boling negara, Wan Zarif Ikram (tengah) dan Ethan Damien Goh (kanan) serta atlet boling Hong Kong, Jovi Ma (kiri) selepas Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 di Sunway Pyramid hari ini. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) tidak mahu mengangkat bendera putih terlalu awal apabila mahu mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) melalui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) supaya boling dipertandingkan dalam Sukan Sea 2025.

Hasrat itu disuarakan Pemangku Presiden MTBC, Datuk Mohammed Najeeb Abdullah yang akan meminta 'pertolongan' Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk menyampaikan hasrat terbabit kepada penganjur.

"MTBC melahirkan rasa duka cita kerana tidak disenaraikan sebagai salah satu daripada 40 jenis sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan Sea akan datang.

"Ini kerana selama ini apabila Sukan Sea diadakan di Bangkok, tenpin boling tidak ketinggalan dan kita tahu terakhir di Phnom Penh (2023) tidak ada kerana tiada kemudahan atau fasiliti di sana," katanya.

Selain itu, Mohammed Najeeb percaya rayuan yang harus dibuat sebelum 31 Ogos ini akan mendapat sokongan majoriti negara mengambil bahagian kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai atlet tenpin boling.

"(Sekiranya tenpin boling dimasukkan) sebagaimana Sukan Sea Hanoi 2021, kita memang akan hantar skuad pelapis untuk beri mereka peluang asah bakat dan insya-Allah kita pertimbang strategi sama.

"Dari segi pemain, memang sentiasa bersedia (dan) jadual padat sebab kita terlibat pertandingan antarabangsa," katanya.

Terdahulu, MOM memaklumkan akan mengemukakan rayuan kepada SEAGF untuk memasukkan beberapa sukan berpotensi meraih pingat bagi Malaysia dalam Sukan Sea 2025 di Thailand.

Mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Peraturan SEAGF di Bangkok, Thailand baru-baru ini mencadangkan 40 sukan berserta cakera terbang dan tarik tali sebagai sukan demonstrasi sempena Sukan Sea ke-33 yang dijadualkan dari 9 hingga 20 Dis tahun depan di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 9:21 PM