WAN Zarif Ikram bergambar bersama pingat emasnya selepas berjaya menewaskan atlet boling Hong Kong, Jovi Ma. FOTO BERNAMA
WAN Zarif Ikram bergambar bersama pingat emasnya selepas berjaya menewaskan atlet boling Hong Kong, Jovi Ma. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain boling remaja negara, Wan Zarif Ikram mencipta sensasi apabila menamatkan kemarau tujuh tahun buat pasukan negara dengan merangkul pingat emas menerusi acara Masters lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, Petaling Jaya, sebentar tadi.

Atlet muda berusia 17 tahun itu beraksi cemerlang untuk menumpaskan Jovi Ma dari Hong Kong (385 mata) selepas mencatatkan 427 jatuhan pin, manakala pingat gangsa acara sama dimenangi rakan senegara, Ethan Damien Goh.

Wan Zarif berkata, dia meletakkan sasaran untuk mengungguli podium di hadapan peminat sukan tenpin boling tanah air sebelum matlamat itu akhirnya menjadi kenyataan.

"Saya tak sangka sebab dari hari pertama kerja keras untuk acara individu (tetapi) tidak menjadi. Memang ada kekecewaan (namun) berjuang hingga ke akhirnya. Alhamdullilah hari ini, dan saya ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan.

"Selepas ini saya akan sertai Sukan Malaysia (Sukma) dan menjadi wakil Terengganu. Saya sasarkan (acara) Single, All Events dan Masters," katanya.

Sementara itu, jurulatih skuad remaja kebangsaan Alex Liew menyatakan rasa gembira apabila anak buahnya menyerlah dalam acara berkenaan yang kali terakhir dimenangi Tun Hakim pada edisi Kuching, Sarawak 2017.

"Kita ingatkan Wan Zarif untuk kekal tenang dan jangan terburu-buru. Dia melakukannya dengan baik dan saya gembira dengan keputusan keseluruhan. Saya kecewa dengan acara berpasukan sebelum ini sebab kita mempunyai masalah dan ini seperti membayar balik dengan dapatkan pingat emas," katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menutup kempen edisi ke-23 dengan tiga emas, dua perak dan tiga gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 9:08 PM