SHARUL Aimy kini menjalani proses pemulihan. -FOTO NSTP
SHARUL Aimy kini menjalani proses pemulihan. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet gimnastik negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam masih lagi belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai kejohanan kebangsaan yang akan membuka tirai 29 Jun ini.

Hal ini kerana, menurut Sharul Aimy, keputusan terbabit agak sukar untuk dibuat memandangkan keadaan dirinya ketika ini belum lagi cergas sepenuhnya sekali gus berikutan kecederaan buku lali yang dialaminya tahun lalu.

Menurut pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu, dia mengharapkan kecederaannya itu pulih segera sekali gus dapat mengesahkan penyertaan ke kejohanan kebangsaan terbabit dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi prestasi bagi mengharungi pertandingan antarabangsa.

"Tak pasti lagi (kejohanan gimnastik kebangsaan) sebab saya sekarang fokus untuk pulih dari kecederaan saya bahagian buku lali.Saya masih tunggu keputusan dari doktor minggu depan sama ada kena buat pembedahan atau rawatan lain.

"Kecederaan ini sebenarnya dah lebih dari setahun sememangnya mengganggu tapi tak bagi impak teruk. Cuma fokus agak memberi kesan kerana tidak boleh memberi tumpuan sepenuhnya," katanya.

Katanya, jika dia ditakdirkan tidak menyertai kejohanan itu, fokusnya akan tertumpu kepada kepada persiapan Sukan Sea Thailand tahun depan.

Terdahulu atlet berusia 22 tahun itu melakar sejarah apabila merangkul pingat sulung negara di Kejohanan Gimnastik Artistik Lelaki Asia 2024 di Tashkent, Uzbekistan pada Ahad.

Sharul Aimy berjaya menyambar gangsa acara melombol dengan mencatatkan 14.466 mata di belakang jaguh dari Filipina Carlos Yulo (14.883 mata) dan atlet tuan rumah Abdulaziz Mirvaliev (14.783 mata) yang masing-masing mengutip pingat emas dan perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 1:58 PM