GAYA Jacobs meraikan kemenangan dalam acara 100m.
GAYA Jacobs meraikan kemenangan dalam acara 100m.
Reuters

Finland: Juara Olimpik 100m, Lamont Marcell Jacobs, meningkatkan persiapannya menjelang Sukan Olimpik Paris dengan mencatat bawah 10 saat (s) dua kali untuk meraih pingat emas di kejohanan Paavo Nurmi di Finland, semalam.

Jaguh dari Itali itu yang mencatatkan 9.80s pada final di Tokyo dan memenangi emas acara 4x100m, menduduki tempat pertama dalam saringan di Turku dengan catatan 9.99s sebelum memenangi final dengan masa 9.92s.

Sebelum ini, atlet berusia 29 tahun itu hanya pernah mencatat di bawah 10 saat sekali sahaja sejak muncul juara di temasya Tokyo pada 2021.

Cacatan masa dalam final semalam adalah yang ketiga terpantas dalam kariernya.

"Saya agak risau kerana belum lagi mencatat masa di bawah 10 saat (musim ini), tetapi ini sebahagian daripada sukan dan sekarang saya melakukannya dua kali.

"Semasa saringan saya memulakan larian dengan baik, tetapi bahagian terakhir sederhana. Ketika final pula, sebaliknya berlaku, jadi sekarang kita perlu menyusun semua strategi ini," kata Jacobs.

Sementara itu, cataran terbaik musim ini ialah 9.79s, yang dicatatkan Ferdinand Omanyala pada Sabtu lalu di ujian kelayakan Olimpik Kenya.

Acara trek dan balapan di Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dari 1 hingga 11 Ogos 2024 di Stade de France.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 11:19 AM