REGAN meraikan kemenangan dengan  mencatat rekod baru dunia 100m kuak lentang.
REGAN meraikan kemenangan dengan mencatat rekod baru dunia 100m kuak lentang.
AFP

Los Angeles: Regan Smith mencatat rekod baharu dunia 57.13 saat (s) untuk memenangi acara 100 meter (m) kuak lentang di kejohanan ujian renang Olimpik Amerika Syarikat (AS) pagi tadi.

Regan memecahkan rekod dunia 57.33s milik Kaylee McKeown dari Australia yang dicatatnya di Budapest pada Oktober 2023.

"Itu sebahagian daripada rancangan," kata Regan mengenai usaha untuk merampas semula rekod yang pernah dipegangnya pada 2019.

Dia menunjukkan kesungguhan dengan mengurangkan rekod AS kepada 57.47s di separuh akhir dan dengan dorongan dari Katharine Berkoff, dia berjaya mencantas dua persepuluh saat rekod Kaylee.

"Saya sangat bangga dengan kebolehan diri saya," kata Regan yang memenangi dua perak dan satu gangsa di Sukan Olimpik Tokyo.

"Kuak lentang kadang-kadang sukar bagi saya, tetapi untuk berjuang kembali seperti ini dan mendapatkan semula rekod itu sangat bermakna."

Katharine menduduki tempat kedua dengan catatan 57.91s, menjadikan gandingan AS yang kuat dalam acara itu di Paris, di mana Kaylee masih menjadi pencabar yang hebat.

Regan yang hampir terlepas tempat ke Paris dalam acara 100m kuak kupu-kupu di belakang rekod dunia Gretchen Walsh dan Torri Huske, mempunyai dua acara lagi minggu ini di Stadium Lukas Oil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 12:18 PM