ONS terpaksa menarik diri daripada menyertai Olimpik Paris. FOTO AFP
ONS terpaksa menarik diri daripada menyertai Olimpik Paris. FOTO AFP
AFP

Paris: Pemain tenis tiga kali naib juara Grand Slam, Ons Jabeur, 29, berkata, dia terpaksa melupakan Olimpik Paris pada musim panas ini untuk mengelakkan kecederaan lututnya menjadi semakin teruk.

Dia berkata, tidak akan menyertai Sukan Olimpik antara 27 Julai hingga 4 Ogos 2024.

Pertandingan yang akan berlangsung di Roland Garros itu akan berubah kembali kepada gelanggang tanah liat selepas saingan musim gelanggang rumput.

Menurutnya, dia sudah menjalani pembedahan pada lutut kanannya akibat kecederaan parah.

"Selepas berunding dengan pasukan perubatan saya mengenai kehadiran saya di Olimpik di Paris, kami memutuskan bahawa perubahan yang cepat dalam penyesuaian badan yang diperlukan akan memberi risiko kepada lutut saya.

"Jadi disebabkan perkara itu malangnya saya tidak akan dapat menyertai Olimpik 2024," kata Ons di akaun media sosialnya.

Ons mara ke pusingan akhir dalam perlawanan Wimbledon pada 2022 dan 2023 dan Terbuka Amerika Syarikat pada 2022.

Dia bertanding dalam Olimpik di London pada 2012, di Rio pada 2016 dan di Tokyo lima tahun kemudian.

Sementara itu, media juga mendapati bahawa pemain nombor tiga dunia, Aryna Sabalenka, juga berkata dia akan tidak menyertai Olimpik kali ini untuk menjaga tahap kesihatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 10:16 AM