PETINJU Ukraine, Oleksandr Usyk (kiri) memenangi pertarungan pertama ke atas Tyson Fury, 19 Mei lalu. FOTO AFP
PETINJU Ukraine, Oleksandr Usyk (kiri) memenangi pertarungan pertama ke atas Tyson Fury, 19 Mei lalu. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Oleksandr Usyk akan menentang Tyson Fury dalam perlawanan ulangan pada 21 Disember di Riyadh, kata penganjur terkemuka Arab Saudi selepas dia memenangi pertarungan pertama bulan ini untuk muncul juara mutlak.

Petinju Ukraine yang belum tewas itu menang menerusi keputusan juri ke atas bintang Britain, Fury di ibu negara Saudi pada 19 Mei lalu dalam pertarungan membabitkan pertaruhan empat tali pinggang.

Dua juri memihak kepada Usyk dengan keputusan 115-112 dan 114-113 manakala juri ketiga memberikan kemenangan kepada Fury 114-113.

Kemenangan itu melebarkan rekod profesional Usyk kepada 22-0. Selepas kekalahan pertamanya, rekod Fury kini 34-1-1.

"Perlawanan timbal balik antara juara mutlak, Oleksandr Usyk dan Tyson Fury kini dijadualkan pada 21 Disember 2024 semasa Musim Riyadh," Turki Alalshikh, Pengerusi Pihak Berkuasa Hiburan Am di platform X.

Lennox Lewis dari Britain adalah juara heavyweight terakhir yang memegang status juara mutlak ketika menentang Evander Holyfield pada 1999.

Kedua-dua petinju legenda itu berada di tepi gelanggang ketika Usyk memastikan Fury, 35, mengalami kekalahan kali pertama.

Usyk, 37, yang pernah berkhidmat sebagai askar selepas pencerobohan Rusia, juga adalah juara mutlak dalam kelas cruiser dan memenangi pingat emas di Olimpik, dunia dan Eropah ketika berstatus amatur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 10:28 AM