GARBINE pernah bergelar pemain nombor satu dunia. -FOTO AFP
GARBINE pernah bergelar pemain nombor satu dunia. -FOTO AFP
Agensi

Madrid: Bekas juara Wimbledon, Garbine Muguruza mengumumkan persaraannya daripada tenis.

Bekas pemain nombor satu dunia dari Sepanyol itu pernah memenangi Wimbledon pada 2017, serta Terbuka Perancis pada tahun sebelumnya.

Pemain berusia 30 tahun itu mengumumkan persaraannya di Madrid sebelum Anugerah Sukan Dunia Laureus.

"Masanya sudah tiba untuk mengucapkan selamat tinggal. Ia adalah kerjaya yang panjang dan berjaya, tetapi saya rasa masanya sesuai untuk bersara," katanya.

Pemain kelahiran Venezuela itu tidak bermain sejak Januari 2023 dan Mac lalu berkata dia sedang berehat panjang daripada tenis.

Dia beralih ke bidang profesional pada 2012 dan memenangi Grand Slam pertamanya pada 2016, selepas menewaskan Serena Williams di final Terbuka Perancis.

Tahun berikutnya dia menang di Wimbledon, menewaskan Venus Williams di final dan bergelar pemain nombor satu.

"Sekiranya 25 tahun yang lalu apabila saya mula memukul bola tenis pertama saya dan seseorang memberitahu saya bahawa saya akan menjadi pemain tenis profesional dan akan memenuhi impian saya untuk memenangi Roland Garros dan Wimbledon, selain bergelar pemain nombor satu di dunia dan menang Pusingan Akhir WTA, saya akan sangka orang ini gila," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 12:08 PM