MCDELON perlu berwaspada dengan lawannya yang bukan calang-calang. FOTO Ihsan Instagram daelonielkilatboy
MCDELON perlu berwaspada dengan lawannya yang bukan calang-calang. FOTO Ihsan Instagram daelonielkilatboy
BERNAMA

Kuching: Jaguh tinju Asia, Daeloniel McDelon Bong menjangkakan pertarungan sengit apabila berdepan Yuttichai Wanawong dari Thailand bagi merebut tali pinggang Super Bantamweight Kejohanan Tinju Dunia (WBC) pada 11 Mei ini.

Walaupun beraksi di Stadium Tertutup di sini yang juga gelanggang sendiri, namun McDelon yang terkenal dengan julukan Kilat Boy berkata dia perlu berwaspada dengan lawannya yang bukan calang-calang.

"(Wannawong) mempunyai banyak pengalaman dan beliau lebih tinggi berbanding saya tapi saya bersama pasukan telah memikirkan taktik untuk berdepan dengannya. Ia sudah pasti sengit," kata petinju kelahiran Sarawak berusia 25 tahun itu kepada pemberita selepas menjalani latihan di sini hari ini.

Pertembungan akan datang juga yang ke-11 sejak bergelar profesional pada 2016 dan beliau telah mendapatkan khidmat jurulatih tinju profesional Filipina Reynaldo Inocian bagi menghadapi perlawanan berkenaan.

Beliau berkata sejak tiba di sini minggu lepas, Inocian, 56, yang juga ahli pasukan latihan bekas juara tinju dunia Manny Pacquiao, telah menyediakan program latihan yang agak keras sebagai persediaan untuknya menghadapi jaguh dari Thailand itu.

"Setelah lima hari menjalani latihan di bawah Inocia, saya rasa stamina, kecergasan dan taktik telah meningkat tapi saya akan perbaiki lagi dari semasa ke semasa sehingga hari pertandingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 8:23 PM