ATLET olahraga Negeri Sembilan yang akan bersaing pada Kejohanan Olahraga Terbuka Johor 2024. Foto Ihsan Persatuan Olahraga Negeri Sembilan
ATLET olahraga Negeri Sembilan yang akan bersaing pada Kejohanan Olahraga Terbuka Johor 2024. Foto Ihsan Persatuan Olahraga Negeri Sembilan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persatuan Olahraga Negeri Sembilan (PONS) akan memanfaatkan peluang terbaik bagi persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) melalui penyertaan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Johor 2024, bermula hari ini hingga Ahad.

Persatuan itu mempertaruhkan seramai 28 atlet olahraga untuk bersaing memburu kejuaraan pada kejohanan berkenaan.

Jurulatih PONS, Andriani Tambeh berkata, dua atlet kebangsaan iaitu Muhammad Haiqal Hanafi dan S Avinash Nair adalah antara mereka yang dijadikan sandaran pasukan terutama bagi acara pecut 100 dan 200 meter (m) serta 110m lari berpagar.

"Kami menghantar atlet ke Johor ini membabitkan sebahagian besarnya adalah mereka yang berada dalam kelompok yang disenaraikan bagi persiapan menghadapi Sukma tahun ini.

"Kami melihat ini adalah medan terbaik untuk menilai prestasi semasa atlet berkenaan sebelum melakukan pemilihan akhir bagi menghadapi Sukma yang akan berlangsung di Sarawak, Ogos depan," katanya.

Beliau berharap semua atlet berkenaan dapat menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam setiap acara yang disertai serta berupaya mencatat keputusan yang terbaik.

Katanya, atlet Negeri Sembilan akan mengambil bahagian dalam 25 acara dipertandingkan antaranya 400m, 4x100m, 4x400m, lompat tinggi dan lompat bergalah.

"Kejohanan ini akan dijadikan sandaran dalam persiapan awal menghadapi Sukma selain memberi peluang kepada setiap atlet muda menguji prestasi semasa mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 6:21 PM