SKOP baharu pelepasan cukai yang dimasukkan untuk perbelanjaan sukan termasuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan. -FOTO NSTP
SKOP baharu pelepasan cukai yang dimasukkan untuk perbelanjaan sukan termasuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ibu bapa yang mengeluarkan kos yuran menghantar anak masing-masing menjalani latihan dalam sukan kini boleh menarik nafas lega kerana mereka layak untuk mendapat pelepasan cukai individu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia adalah skop baharu pelepasan cukai yang dimasukkan untuk perbelanjaan sukan termasuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan yang terhad sehingga RM1,000.

"Kriteria latihan sukan yang layak mendapat pelepasan cukai iaitu pertamanya latihan secara 'one-off' atau bersiri yang diadakan secara berstruktur seperti kelas, klinik, kursus, bengkel dan sebagainya.

"Keduanya, jenis sukan adalah seperti yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), iaitu 103 jenis sukan yang telah diwartakan.

"Ketiga, penyedia latihan mestilah persatuan, kelab sukan, syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016.

"Perbelanjaan bagi yuran latihan sukan dibuktikan dengan resit pembayaran termasuk resit yang dijana secara dalam talian. Slip bank dan penyata akaun bank tidak boleh digunakan sebagai bukti atau resit pembayaran," katanya pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan, hari ini.

Jelas Hannah, penyedia latihan sama ada persatuan, kelab atau syarikat perlu memastikan jurulatih yang dilantik bernaung di bawah mana-mana badan sukan atau syarikat di Malaysia.

"Ibu bapa kena semak dahulu sama ada jurulatih itu adalah bernaung di bawah persatuan sukan ataupun kelab yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan ataupun di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Kalau tidak, akan ada individu yang sewenang-wenangnya mendakwa diri mereka sebagai jurulatih, dan tiada siapa boleh sahkan.

"Untuk jangka masa panjang, kita mahu kesemua jurulatih ini mendapat tauliah daripada Institut Sukan Negara (ISN) kerana kita ada Kod Sukan Selamat.

"Kita mahu pastikan setiap jurulatih yang memberikan latihan itu mengikut syarat dan ketetapan persatuan sukan masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 1:22 PM