LEMMA (kiri) dan Hellen bergambar bersama trofi selepas memenangi Maraton Boston, semalam. FOTO AFP
LEMMA (kiri) dan Hellen bergambar bersama trofi selepas memenangi Maraton Boston, semalam. FOTO AFP
Reuters

Boston: Pelari Ethiopia, Sisay Lemma muncul juara Maraton Boston 2024, semalam selepas gerakan solo sejak awal memastikan kemenangan dalam tempoh dua jam, enam minit dan 17 saat (s).

Rakan senegaranya, Mohamed Esa menduduki tempat kedua apabila ketinggalan 41s di belakang Lemma manakala juara bertahan, Evans Chebet dari Kenya di tempat ketiga, ketinggalan satu minit dan 5s.

"Saya membuat keputusan untuk bermula cepat pada perlumbaan ini," kata Lemma kepada ESPN.

Atlet berusia 33 tahun itu bermula dengan pantas sebelum agak keletihan pada hujung perlumbaan, tetapi Esa atau Chebet gagal memintasnya, walaupun Esa membuat pecutan terakhir ke garisan penamat untuk menduduki tempat kedua.

Pada satu ketika, juara Maraton Valencia 2023 itu yang juga jaguh maraton lelaki keempat terpantas dalam sejarah hampir memecahkan rekod catatan masa Maraton Boston, sebelum dia memperlahankan larian ketika cuaca semakin panas.

Bagi acara wanita, atlet Kenya, Hellen Obiri muncul juara kali kedua berturut-turut di Boston apabila melintasi garisan penamat dengan catatan dua jam 22 minit dan 37s, mengatasi rakan senegara, Sharon Lokedi dengan kelebihan 8s.

"Saya tahu Sharon cukup gagah dan pantas, jadi saya cuba yang terbaik di akhir perlumbaan," kata Hellen.

"Saya cuba lari, tetapi dia tetap hampir dan kemenangan di sini membuatkan saya gembira.

"Ketika menang di sini tahun lalu, saya belum cukup biasa dengan maraton. Tahun ini, latihan saya sempurna dan saya percaya dengan persediaan yang dilakukan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 9:46 AM