STEFANOS Tsitsipas mencium trofi selepas memenangi Monte Carlo Masters. FOTO AFP
STEFANOS Tsitsipas mencium trofi selepas memenangi Monte Carlo Masters. FOTO AFP
Reuters

Monte Carlo: Stefanos Tsitsipas memenangi saingan Rolex Monte Carlo Masters ketiganya dalam tempoh empat tahun selepas mengalahkan Casper Ruud 6-1, 6-4 di Monaco, semalam.

Tsitsipas, pilihan ke-12, mempamer aksi agresif untuk memenangi perlawanan itu dalam tempoh satu jam 37 minit.

Tahun lalu adalah detik sukar bagi pemain berusia 25 tahun dari Greece itu yang menduduki ranking ketiga dunia pada Januari 2023 tetapi menjunam ke kedudukan ke-12.

Dia bakal kembali ke kedudukan 10 teratas dengan berada di ranking ke-7 apabila ranking baru dikeluarkan.

"Ia adalah sangat sukar, jadi untuk kembali ke podium dengan memenangi kejohanan ini adalah menakjubkan," kata Tsitsipas.

"Saya amat berterima kasih kepada setiap individu di sebalik perjalanan ini. Kali ketiga lebih istimewa berbanding kali pertama atau kedua.

"Ia adalah kemenangan yang sukar dipercayai bagi saya. Merakam kemenangan hari ini (semalam) sangat mendebarkan. Saya sangat gembira hari ini," katanya lagi.

Tsitsipas menewaskan tiga pemain yang menduduki ranking 10 terbaik iaitu Ruud, Alexander Zverev dari Jerman dan Jannik Sinner dari Itali dalam laluannya untuk muncul juara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 12:29 PM