KHAIRUL mahu kekal relevan dalam acara 100m.
KHAIRUL mahu kekal relevan dalam acara 100m.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Raja pecut Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur, Khairul Hafiz Jantan mencabar dirinya untuk melakukan catatan 10.30 saat (s) dalam acara 100 meter (m) bagi memastikan dirinya kekal sebagai antara pelari pecut terbaik negara ketika ini.

Ketika tumpuan dalam acara riben biru itu terarah kepada Muhammad Azeem Fahmi yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat, Khairul Hafiz mahu memastikan dia kekal releven dalam acara itu.

Justeru ketika tiada kejohanan besar tahun ini, pelari berusia 26 tahun itu mahu memberi fokus dengan merekodkan catatan masa lebih baik.

Dengan keadaannya tanpa sebarang kecederaan, Khairul yang pernah memegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.18s ketika Sukan Malaysia Sarawak 2016 yang lalu berkata, dia sudah bersedia untuk mencabar dirinya mengatasi catatan masa terbaik peribadi tahun lalu iaitu 10.34s.

"Tahun lalu, tahun yang agak baik buat saya. Walaupun saya tak berpuas hati dengan catatan masa itu (10.34s) tapi berlari tanpa kecederaan membuatkan saya berasa lebih bersemangat.

"Sekarang ini saya sasar untuk buat lebih bagus mungkin boleh turun ke 10.33, 10.30 atau 10.29s dan biarpun peluang untuk ke Olimpik sudah tertutup kerana kita ada Azeem tapi itu bukan penghalang untuk saya mencatatkan masa lebih baik.

"Fokus saya sekarang adalah untuk layak ke Sukan Sea dan saya mahu menghadiahkan pingat buat negara," katanya.

Terdahulu Pengarah Kejurulatihan Olahraga negara, Robert Ballard memaklumkan bahawa setiap atlet perlu melepasi piawaian yang ditetapkan jika ingin menyertai kejohanan di luar negara.

Bagi atlet pecut, mereka perlu mencatatkan masa sekitar 10.3s dengan Khairul Hafiz bersedia menyahut cabaran itu.

"Ia satu cabaran buat saya. Ia bagus juga selain tak membazirkan duit yang dilaburkan kepada atlet, ia juga meletakkan saya dalam kedudukan sasaran 10.3s

"Andai melepasi masa itu, saya boleh terus perbaiki lagi dan lagi," katanya.

Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, Khairul disenaraikan dalam kuartet 4x100m bersama-sama Azeem, Muhammad Arsyad Md Saat dan Jonathan Nyepa.

Mereka menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 39.19s namun dibatalkan kerana melakukan kesalahan TR17.3.1 iaitu pencerobohan lorong sekali gus menyaksikan kedudukan kelima menjadi milik kuartet Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 3:11 PM