RIDWAN tekad balas kepercayaan jurulatih.
RIDWAN tekad balas kepercayaan jurulatih.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Seramai 16 pemain dipanggil menyertai pasukan futsal kebangsaan bagi membawa cabaran negara ke kejohanan jemputan di Thailand.

Skuad futsal kebangsaan yang dibimbing jurulatih Rakphol Sainetngam, akan menghadapi kejohanan jemputan empat penjuru, NSDF Futsal Championship Thailand 2024 di Stadium Nonthaburi dari 24 hingga 28 Mac 2024.

Selepas itu, skuad negara dijadualkan mengharungi perlawanan persahabatan di Vietnam, pada 5 April 2024 sebelum bersaing pada Kejuaraan Futsal Asean di Thailand pada 11 hingga 19 Mei 2024.

Skuad kebangsaan kali ini dibarisi tujuh pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), termasuk penjaga gol, Aiman Fikry, Mahadir Harahap, Abu Haniffa, Awalluddin Mat Nawi, Danial Dain, Ridzwan Bakri dan Saad Abdul Sani.

Turut tersenarai empat pemain Selangor FC membabitkan Syawal Sabaruddin, Faris Johan, Syahir Iqbal Khan dan Syed Aizad Daniel.

Pemain lain yang turut dipanggil ialah Hamdin Zarif dan Harith Naim dari Pahang Rangers FC, Farhan Khairul (Shah Alam City), Syed Shahrul Niezam (Terengganu) dan Hikmal Firdaus (Sabah).

Gadingan pemain senior dan baharu diharap memberi hasil memuaskan buat pasukan kebangsaan yang begitu dahagakan kejayaan dipentas antarabangsa.

Tahun lalu pasukan kebangsaan beraksi pada saingan Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Uzbekistan, skuad negara gagal melangkah lebih jauh apabila terkandas di peringkat kumpulan.

Sementara itu, bagi Ridzwan dia akan berusaha membalas kepercayaan diberikan jurulatih (Sainetngam)pada kejohanan kali ini yang dianggap begitu mencabar terutama apabila diadakan pada bulan Ramadan.

"Tahun lalu saya membawa cabaran pasukan negara di Uzbekistan, kegagalan sebelum ini diharap tidak terus berulang pada pertandingan kali ini," katanya yang semakin serasi bersama pasukan JDT selepas meninggalkan PRFC musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 3:07 PM