ALIA Sazana sudah menyuarakan hasrat untuk ke Rio. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
ALIA Sazana sudah menyuarakan hasrat untuk ke Rio. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet menembak negara, Alia Sazana Azahari tetap optimis untuk melayakkan diri ke temasya Paris Julai ini.

Peluang masih terbuka buat atlet berusia 32 tahun itu dengan menyertai kejohanan kelayakan terakhir iaitu di Piala Dunia Rio de Janeiro, Brazil yang akan bermula dari 11 hingga 20 April ini.

Ia adalah peluang terakhir untuk kesemua penembak memburu kelayakan.

"Saya sudah menyuarakan hasrat untuk ke Rio kepada jurulatih yang mana jurulatih perlu memainkan peranan membawa usul itu kepada MSN (Majlis Sukan Negara).

"Rio adalah peluang terakhir saya dan saya akan berusaha untuk ke sana dan berharap jurulatih akan dapat meyakinkan MSN untuk membenarkan saya ke Rio," katanya yang beraksi dalam acara 25 meter pistol.

Alia sebelum ini gagal menempatkan diri di dua kejohanan iaitu Kejohanan Asia di Korea Selatan dan di Jakarta bulan lalu.

Namun dia tidak akan mengalah untuk cuba mengikuti jejak langkah Johnathan Wong Guanjie yang sudahpun menempatkan diri ke temasya terbesar itu.

Untuk melayakkan diri ke Paris, atlet kelahiran Terengganu itu perlu menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik seterusnya layak secara automatik ke Paris.

Alia, yang memenangi gangsa 25m pistol dalam Sukan Komanwel 2018 dan pingat perak Sukan Sea Hanoi, Vietnam berkata, dia amat berharap MSN dan Persatuan Menembak Kebangsaan (NSAM) akan memberinya peluang ke Rio yang mana dia sudah menjalani melakukan persediaan yang rapi.

"Saya tak akan membiarkan perkara di Jakarta berulang apabila saya melakukan perubahan pada grip pistol saya. Saya melakukan pelarasan pada grip dan ia menjadi longgar dari sepatutnya.

"Ketika ini saya sudah melakukan pelarasan terbaik dan sudah berlatih dengan pelarasan baru itu sejak dari awal lagi," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan Johnathan dijadualkan beraksi di Piala Dunia di Munich, Jerman dari 31 Mei hingga 7 Jun ini sebagai persediaan untuk menghadapi temasya Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 2:03 PM