SHARUL Aimy ketika beraksi di Sukan Asia Hangzhou 2022. FOTO ARKIB NSTP
SHARUL Aimy ketika beraksi di Sukan Asia Hangzhou 2022. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Peluang untuk gimnas lelaki negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam untuk membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini, kini semakin tipis.

Ini selepas pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu gagal menaiki podium ketika aksi final melombol pada siri ketiga Piala Dunia Aparatus FIG (Persekutuan Gimnastik Antarabangsa) 2024 di Baku, Azerbaijan, semalam.

Atlet berusia 22 tahun itu menduduki tempat tercorot dengan memperoleh purata mata 14.099 daripada lapan peserta dalam acara yang berlangsung di Arena Gimnastik Kebangsaan.

Nazar Chepurnyi dari Ukraine dinobatkan sebagai juara setelah merekodkan 14.900 mata manakala Shek Wai Hung dari Hong Kong meraih perak (14.866 mata) dan Harry Hepworth dari Britain dengan gangsa (14.866 mata).

Meskipun tidak berjaya membawa pulang pingat, Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Francis Lau tetap memuji persembahan atlet kelahiran Terengganu itu.

"Persembahannya baik, tetapi finalis lain menunjukkan persembahan dan pendaratan yang baik.

"Namun peluang Sharul Aimy untuk layak (Sukan Olimpik 2024) adalah tipis," katanya kepada Bernama.

Sharul Aimy sebelum ini gagal ke pentas akhir pada dua siri Piala Dunia Aparatus FIG 2024 masing-masing di Kaherah, Mesir dan Cottbus, Jerman.

Di Kaherah, beliau berada pada kedudukan ke-27 daripada 42 peserta pada pusingan kelayakan diikuti tempat ke-17 daripada 50 peserta di Cottbus pada peringkat sama.

Sharul Aimy dijadualkan bertanding dalam siri akhir kejohanan itu di Doha, Qatar dari 17 hingga 20 April ini.

Siri Piala Dunia akan menawarkan dua kuota bagi setiap jantina untuk setiap aparatus berdasarkan tiga keputusan terbaik gimnas dalam empat pertandingan.

Paris 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 9:11 PM