RAFAEL Nadal. FOTO AFP
RAFAEL Nadal. FOTO AFP
Reuters

Los Angeles: Rafael Nadal berharap dapat mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan di Indian Wells bagi membolehkannya beraksi di gelanggang tanah liat selepas ini pada tahun terakhirnya dalam Jelajah ATP.

Pemain berusia 37 tahun itu, yang sudah memenangi 14 daripada 22 gelaran Grand Slam di gelanggang tanah liat Roland Garros pernah berkata kariernya sudah sampai ke penghujung.

Dia terlepas beraksi di Terbuka Australia tahun ini kerana kecederaan di pinggulnya yang kemudian menyaksikannya menjalani pembedahan.

"Bagi saya, keutamaan adalah untuk cuba meninggalkan Indian Wells tanpa mengalami sebarang kecederaan.

"Saya mahu beraksi di gelanggang tanah liat, yang mana ia mungkin atau tidak mungkin penampilan terakhir saya kerana belum memutuskan (soal persaraan) 100 peratus. Pada masa ini, begitulah situasinya.

"Dalam dua tahun kebelakangan ini, saya tidak dapat bermain. Kehidupan ini menunjukkan jalan kepada masa depan anda," kata Nadal dipetik sebagai berkata di Eurosport.

Bekas pemain nombor satu dunia, Nadal ialah juara Indian Wells tiga kali.

Dia sebelum ini berkata matlamatnya adalah untuk bermain di Terbuka Perancis dan Sukan Olimpik Paris tahun ini.

"Bagaimana saya membayangkan persaraan saya? Pada mulanya, saya tidak membayangkannya kerana apabila anda mula membayangkan sesuatu, bermakna semakin dekat anda dengannya.

"Ia bukan sesuatu yang saya mahu fikirkan. Saya ingin mengucapkan selamat tinggal dengan cara yang terbaik, iaitu masih kekal kompetitif dan gembira di atas gelanggang. Sama ada itu boleh berlaku atau tidak, hanya masa akan menentukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 9:58 AM