RUBLEV ketika bercakap di depan penjaga garisan. FOTO REUTERS
RUBLEV ketika bercakap di depan penjaga garisan. FOTO REUTERS
Agensi

Dubai: Andrey Rublev dibatalkan penyertaan daripada Kejohanan Tenis Dubai kerana berkelakuan tidak sepatutnya.

Pilihan kedua dari Rusia itu menjerit di depan penjaga garisan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang dilakukan pada set ketiga aksi separuh akhir ketika bertemu Alexander Bublik.

Seorang pegawai berbahasa Rusia memberitahu penyelia ATP, Roland Herfel bahawa Rublev mengeluarkan kata-kata kesat kepada penjaga garisan dalam bahasa Rusia.

Rublev menafikan dia bercakap dalam bahasa Rusia, tetapi akhirnya tetap dikenakan hukuman kerana berkelakuan tidak sepatutnya oleh pengadil perlawanan, Miriam Bley.

Pemain nombor lima dunia itu, yang ketinggalan 6-5 di set terakhir, akan kehilangan semua wang kemenangan dan mata rankingnya untuk minggu itu.

Rakan senegara, Daria Kasatkina yang juga pemain nombor 12 dunia dalam ranking wanita, menganggap keputusan itu sebagai 'kelakar'.

"Jadi, anda boleh singkirkan seorang pemain, ambil mata dan wangnya, tanpa memeriksa melalui ulang tayang video? Sungguh kelakar.

"Kita memerlukan VAR (video bantuan pengadil) dalam tenis dan garisan elektronik untuk semua kejohanan," tulis Daria di X yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Bublik akhirnya dianugerahkan kemenangan 6-7 (4-7) 7-6 (7-5) 6-5.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 10:35 AM