AZIZULHASNI dipantau rapi oleh Jawatankuasa RTG. FOTO AZRUL EDHAM
AZIZULHASNI dipantau rapi oleh Jawatankuasa RTG. FOTO AZRUL EDHAM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Penyelaras Jawatankuasa Road To Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan pihaknya akan terus memantau kesihatan 'The Pocket Rocketman', Datuk Azizulhasni Awang dari semasa ke semasa bagi memastikan kesihatan pelumba trek negara itu berada di prestasi terbaik sehingga Olimpik Paris 2024.

Jelasnya, Azizulhasni menjalani pembedahan jantung terbuka pada 2022 di Hospital Epworth Richmond, Melbourne dan disebabkan itu kesihatan pelumba itu perlu dipantau secara serius.

Ini ditambah pula pada awal Februari lalu ketika di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Andelaide, Australia dia terpaksa menarik diri ketika perlumbaan penentuan pingat gangsa acara pecut individu atas nasihat doktor selepas didapati mengalami gejala perikarditis.

Tambah Stuart, Jawatankuasa RTG meluluskan perlanjutan sokongan kepada Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk meneruskan latihan di luar negara sebagai persiapan untuk temasya Olimpik Paris nanti.

"Kedua-dua pelumba trek negara itu akan mengadakan dua kem latihan di Brisbane, Australia bermula 23 Mac hingga 12 April ini dan di Silverstone, United Kingdom dari 9 hingga 13 Jun ini. Bagi latihan pra-Olimpik pula, Azizulhasni dan Shah Firdaus akan ke Mallorca, Sepanyol dari 13 Jun hingga 1 Ogos," katanya.

Selain berbasikal, skuad badminton turut akan menjalani latihan di luar negara selama 10 hari dan menjadikan wilayah Aire Sur La Lyse, Perancis sebagai destinasi mereka bermula dari 10 hingga 20 Julai ini.

"Selain latihan 10 hari di Perancis, Jawatankuasa RTG turut meluluskan dua permintaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk adakan latihan di luar negara sebagai persiapan menghadapi dua kejohanan di China, iaitu Kejohanan Badminton Asia 2024 di Ningbo bermula 9 hingga 14 April dan Piala Thomas serta Uber di Chengdu bermula 28 April hingga 5 Mei.

"Kem latihan pertama sebelum BAC akan bermula 26 Mac hingga 6 April mankala latihan kedua sebelum Piala Thomas dan Uber dari 15 hingga 24 April," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 1:04 PM