ABDUL Latif Romly  menerima insentif tambahan berjumlah RM6,000 daripada kerajaan negeri Perlis. FOTO AIZAT SHARIF
ABDUL Latif Romly menerima insentif tambahan berjumlah RM6,000 daripada kerajaan negeri Perlis. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Atlet para sensasi negara, Datuk Abdul Latif Romly mengidamkan kejayaan 'hatrik' emas dalam temasya Sukan Paralimpik 2024 di Paris pada September nanti seperti yang pernah dilakar oleh bekas atlet Jamaica, Usain Bolt dalam sejarah penganjuran Olimpik.

Pemenang pingat emas dalam dua temasya Sukan Paralimpik 2016 dan 2020 di Rio De Janeiro, Brazil dan Tokyo, Jepun bagi acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) itu bukan sahaja mahu menggenggam emas ketiga peribadinya tetapi dia juga mahu memecahkan rekod dunia yang diciptanya di Jakarta pada 2018.

Namun, anak kelahiran Paya Kelubi, Beseri, Padang Besar berusia 26 tahun itu tetap tidak mahu terlalu yakin disebabkan muncul ramai saingan baru yang meningkat naik di peringkat antarabangsa dalam acara itu pada waktu ini.

"Tahun ini saya mempunyai dua temasya besar untuk saya hadapi iaitu Kejohanan Olahraga Para Dunia pada Mei dan Sukan Paralimpik di Paris pada September nanti dan platform pada kejohanan dunia itu nanti akan dijadikan sebagai pengukur prestasi saya sebelum menuju ke Paralimpik nanti.

"Sekiranya prestasi saya bagus dalam kejohanan itu, saya bukan sahaja mahu menyasarkan emas 'hatrik' sahaja tetapi ingin pecahkan rekod peribadi kerana sudah lama rekod itu tidak disaingi, jadi itulah harapan saya sekiranya berada di Paralimpik Paris nanti.

"Namun begitu, saya pun tidak mahu terlalu yakin dan terlalu memfokuskan ke arah hasrat itu kerana harus diingat pada waktu ini sudah ramai pesaing baru antarabangsa yang meningkat naik dalam acara lompat jauh T20 ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis Tahun 2023 dan Pelancaran Road To Sukma dan Para Sukma ke-21 Sarawak 2024 di Dewan Warisan, di sini semalam.

Katanya, kesan kecederaan kaki yang dialami selepas temasya Sukan Paralimpik Tokyo pada 2021 dan Kejohanan Olahraga Para Dunia tahun lalu juga masih terasa meskipun kakinya kini sudah pulih sepenuhnya.

"Kesan itu memang masih terasa kerana adakalanya kesakitan itu dapat dirasakan sehingga saya sukar untuk membuat lompatan yang baik namun dalam masa yang sama, sesi pemulihan terus dijalankan bersama latihan yang saya laksanakan pada waktu ini.

"Setakat ini, saya boleh katakan persediaan saya untuk ke kejohanan olahraga dunia itu nanti adalah sekitar 50 hingga 80 peratus dan masih ada dua bulan lagi untuk saya persiapkan segalanya yang sudah dibincangkan bersama jurulatih saya termasuklah memperbaiki teknik lompatan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 12:40 PM