Bintang basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Bintang basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Amirul Fazli Zulkafli


Nilai: Bintang yang semakin menyinar dalam acara berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menyatakan saiz badan bukan ukuran dalam memburu kejuaran sebaliknya prestasi di dalam gelanggang menjadi penentu untuk segalanya.

Meskipun hanya mempunyai ketinggian 152 sentimeter (cm) dan saiz badan agak kecil berbanding lawannya, namun itu bukan alasan untuk pelumba kelahiran Kedah itu mengetepikan lawannya untuk mengenggam dua emas dalam acara keirin dan ujian masa 500 meter, satu perak (pecut berpasukan wanita) , satu gangsa (pecut individu) di Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2024 (ACC) New Delhi, India minggu lalu.

Ketika ini, Nurul Izzah berada di prestasi terbaik dan bagi memastikan ia terus kekal menjadi pencabar utama, dirinya dalam fasa untuk membentuk kekuatan otot bagi terus berada dalam kelompok pelumba elit dunia.

"Untuk saiz (badan) itu, saya setuju. Sebab saiz tak mempengaruhi dan tak menjamin. Yang paling penting adalah semangat, keterampilan, dan tekad untuk terus meningkatkan diri.

"Berat badan saya ok dan naik daripada sebelum ini sejak saya datang ke Majlis Sukan Negara (MSN). Cuma saya nak kena naikkan lagi (berat badan dan otot). Yang penting otot lah saya kena naikkan,"kata Nurul Izzah.

Sementara itu, dirinya ingin meneruskan momentum cemerlangnya di Piala Negara-Negara (UCI) Hong Kong pada bulan Mac depan dengan menyasarkan ingin memecah rekod kebangsaan dalam acara yang disertainya.

Menurutnya, meskipun menyedari bakal menghadapi lawan yang lebih sukar di Piala UCI Hong nanti, dia tetap optimis mampu tampikan kayuhan bertenaga sekali gus menjelmakan kilauan pingat buat negara.

Di UCI Hong Kong nanti, atlet berusia 21 tahun itu dijangka akan menyertai beberapa acara antaranya, keirin wanita , pecut individu, pecut berpasukan dan ujian masa 200 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 1:23 PM