NOVAK Djokovic. FOTO Agensi
NOVAK Djokovic. FOTO Agensi
Reuters

Los Angeles: Novak Djokovic berkata dia teruja kembali ke Indian Wells untuk bersaing di Terbuka BNP Paribas buat kali pertama sejak 2019 selepas sekatan perjalanan Amerika Syarikat (AS) yang disebabkan Covid-19 sebelum ini.

Pemain nombor satu dunia itu memburu gelaran keenam yang belum pernah berlaku sebelum ini pada acara Masters 1000 yang bermula minggu depan dan dianggap sebagai kejohanan tenis terbesar di luar saingan Grand Slam.

"Sudah lima tahun, terlalu lama untuk tidak menyertai kejohanan Tennis Paradise, salah satu kejohanan terbaik di dunia tanpa ragu-ragu," kata Djokovic.

"Ia mungkin kejohanan Masters kegemaran ramai pemain termasuk saya sendiri. Saya tidak sabar untuk datang dan beraksi sekali lagi berentap dengan pemain tenis terbaik yang lain," katanya.

Pemain Serbia itu akui bersedia memperagakan aksi terbaik bagi merebut kejuaraan.

"Kali pertama saya memenangi kejuaraan di Indian Wells pada 2008, ia adalah antara gelaran terhebat dalam karier saya pada ketika itu. Saya masih ingat saya menentang Mardy Fish di peringkat akhir.

"Saya bernasib baik kerana memenangi kejohanan itu empat kali lagi dan bermain beberapa perlawanan epik dalam perlawanan akhir menentang (Roger) Federer dan (Rafa) Nadal dan ramai pemain hebat pada era itu. Saya sangat tidak sabar untuk kembali," katanya.

Juara tiga kali Indian Wells, Nadal bersedia untuk bertanding pada kejohanan itu selepas terlepas Terbuka Australia bulan lalu kerana kecederaan otot.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 11:46 AM