AKSI Anis Amira Rosidi. FOTO Agensi
AKSI Anis Amira Rosidi. FOTO Agensi
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemenang pingat gangsa acara keirin wanita elit, Anis Amira Rosidi terpaksa menahan kesakitan ketika aksi final pada Ahad lalu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India namun ia mendatangkan hasil yang cukup positif untuk dirinya.

Dalam perlumbaan akhir yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi, ia menjadi memori cukup indah buat Anis kerana pada awalnya dia hanya letak sasaran ke pusingan akhir saja kerana mengetahui tidak berada di tahap terbaik ketika itu.

Namun begitu, segalanya berubah ketika pelumba berusia 26 tahun itu berada di dalam pelumbaan dan dirinya terus menukar 'mood' menyerang dengan kayuhan lebih bertenaga sekali gus berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

"Sasaran saya hari ini (Ahad lalu) sememangnya untuk pergi ke pusingan akhir, tetapi seperti tidak percaya apabila saya boleh memenangi pingat gangsa dengan kondisi kecederaan otot yang dialami.

"Bagi saya, saya hanya berikan segalanya dalam perlumbaan meskipun dalam keadaan sebegini. Saya sangat terharu dengan (Nurul) Izzah (Izzati Mohd Asri) juga kerana berjaya memberi pingat emas buat Malaysia.

"Ini bukan satu pengakhiran, namun ini satu permulaan buat saya untuk mengejar kejayaan seterusnya, InsyaAllah. Saya akan fokus dahulu untuk sesi pemulihan selepas ini,"katanya.

Terdahulu dalam aksi final itu, Malaysia berjaya peroleh dua pingat apabila pelumba yang dikenali sebagai 'Pocket Rocketwoman' meraih pingat emas dalam acara berkenaan sebelun Anis hadirkan pingat gangsa untuk negara.

Untuk rekod, sepanjang kejohanan itu berlangsung, Anis berjaya peroleh dua pingat selain ia hadir dari acara keirin wanita elite, atlet kelahiran Perlis ini juga berjaya meraih pingat perak dalam acara pecut berpasukan wanita pada 21 Februari lalu.

Kejayaan dua pelumba keirin wanita di ACC itu tidak mengejutkan Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley apabila beliau sememangnya sudah meramalkan mereka bakal menggegarkan arena trek dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 12:56 PM