SHAZRIN dijangka mempersiapkan diri di Sepanyol dan Perancis yang turut menjadi pilihan pelayar Olimpik lain. FOTO Bernama
SHAZRIN dijangka mempersiapkan diri di Sepanyol dan Perancis yang turut menjadi pilihan pelayar Olimpik lain. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Atlet pelayaran kebangsaan, Nur Shazrin Mohamad Latif yakin dengan program yang oleh dirangka oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan dirinya dapat tampil lebih cemerlang di Olimpik Paris 2024.

Menurut Shazrin, dirinya akan berkelana ke Eropah bagi meningkatkan lagi prestasi agar dapat baiki lagi kelemahan serta kekurangan sebelum menghadapi temasya terbesar dunia itu.

Jelasnya, Sepanyol dan Perancis antara lokasi yang menjadi pilihan dan beberapa pelayar yang sudah ke Paris turut akan ada di sana nanti.

"Untuk Olimpik Paris 2024, saya berharap dapat tampil lebih baik dan membaiki keputusan sebelum ini. Untuk berada dalam kedudukan 10 terbaik bukan mudah apatah lagi semua atlet sememangnya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk dapatkan keputusan cemerlang.

"Saya akan ke Palma, Sepanyol dalam beberapa minggu bermula 23 Mac sebelum ke Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis dari 18 hingga 27 April ini untuk menyertai pertandingan di sana.

"Untuk pertandingan itu, ini peluang terbaik untuk saya melihat semula di mana tahap kemampuan serta prestasi saya selain ia memberi bayangan awal persaingan di Olimpik Paris nanti," katanya.

Sementara itu, Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata meskipun Shazrin tidak berada dalam program Road To Gold (RTG) tetapi pihak akan terus memberi sokongan penuh kepada atlet itu.

"Walaupun mereka bukan dalam RTG, seperti perbincangan saya dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan dia prihatin dan kita akan bantu apa-apa permintaan daripada atlet kerana selain kita nak buru pingat emas, dia nak juga menang medal sebanyak yang boleh.

"Jumlah atlet ke Olimpik (Paris 2024) semakin kecil, dan cuba tolong selagi boleh serta kita akan terus bagi sokongan penuh dari MSN serta Institut Sukan Negara (ISN)," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 6:38 PM