RAZLAN (kiri) akan cuba menaikkan kembali KLCA seperti zaman kegemilangan pada era 1980-an. FOTO Bernama
RAZLAN (kiri) akan cuba menaikkan kembali KLCA seperti zaman kegemilangan pada era 1980-an. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Presiden baharu Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA), Datuk Razlan Razali akan menggunakan pengalaman yang beliau ada untuk membantu membangunkan persatuan berkenaan termasuk dari segi mendapatkan tajaan.

Bagi Razlan, pengalaman sebagai bekas ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebelum ini sudah pasti banyak membantu dirinya untuk terus bergerak ke hadapan meskipun kini berada dalam bidang berbeza.

Tambahnya, beliau akan cuba menaikkan kembali KLCA seperti zaman kegemilangan pada era 1980-an sekali gus membantu persatuan mencipta kejayaan demi kejayaan.

"Perkara pertama yang akan saya tumpukan adalah mendapatkan penajaan untuk menjadikan KLCA stabil dari segi kewangan dan mampan. Itulah cabaran terbesar bagi saya dan saya sudah bersedia untuk itu.

"Banyak syarikat berpotensi di Kuala Lumpur. Saya akan cuba menghubungkan jenama KLCA serta meningkatkan kesedaran komuniti berbasikal," kata selepas mesyuarat agung tahunan (AGM), hari ini.

Tambah Razlan, beliau akan memberi tumpuan juga kepada pembangunan melahirkan lebih ramai bakat muda dan akan mencipta nama di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 nanti.

Pada masa sama, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah Velodrom Kuala Lumpur di Cheras melihat bagaimana kerjasama boleh diadakan atau tidak untuk kebaikan KLCA.

"Datuk Ng Joo Ngan (jurulatih basikal Kuala Lumpur) masih menggunakan velodrom sebagai pusat latihan. Dari segi hala tuju, saya belum pasti. Jadi saya akan adakan mesyuarat dengan pihak tersebut untuk lihat sama ada kita boleh perbaikinya dari segi penyelenggaraan dan sebagainya," kata Razlan.

Untuk rekod, Razlan menang tanpa bertanding jawatan dalam AGM yang diadakan hari ini dan beliau akan memegang tampok KLCA selama dua penggal bermula hari ini sehingga 2026.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 6:13 PM