Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria,
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria,
Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengemukakan cadangan bagi penyenaraian sukan yang memberi kelebihan kepada kontinjen negara untuk dipertandingkan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata Jawatankuasa Induk Sukan Asia Aichi-Nagoya (AINAGOC) sudah mencadangkan sebanyak 41 sukan, 58 disiplin dan 400 acara bersaing bagi mendapatkan kelulusan Majlis Olimpik Asia (OCA).

"MOM akan bekerjasama dengan OCA dan AINAGOC untuk mencadangkan penyenaraian sukan yang memberi kelebihan kepada atlet Malaysia," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.

Sukan Asia Aichi-Nagoya dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober 2026.

Pada edisi terakhir di Hangzhou, China tahun lalu, kontinjen negara mengakhiri saingan di kedudukan ke-14 keseluruhan apabila meraih enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa.

Pencapaian itu menyaksikan Malaysia berjaya melepasi sasaran 27 pingat yang ditetapkan apabila merekodkan keseluruhan 32 pingat di Hangzhou.

Enam emas kontinjen negara disumbangkan pelayar wanita, Nur Shazrin Mohd Latif, Qabil Ambak Mahamad Fathil (ekuestrian), S Sivasangari (skuasy individu wanita), Ng Eain Yow (skuasy individu lelaki), skuasy berpasukan wanita dan Muhammad Arif Afifuddin Abdul Malik (karate).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 6:54 PM