ALCARAZ dan Nadal mengenakan bayaran tinggi untuk sesi latihan peribadi. FOTO Reuters
ALCARAZ dan Nadal mengenakan bayaran tinggi untuk sesi latihan peribadi. FOTO Reuters
Agensi

London: Carlos Alcaraz dan Rafael Nadal pasti mensasarkan untuk pulih daripada kecederaan tepat pada masanya untuk tampil dalam perlawanan pertunjukan yang dikenali sebagai Netflix Slam yang distrim secara langsung menerusi perkhidmatan penstriman pada 3 Mac ini.

Kedua-duanya akan menerima ganjaran wang tunai lumayan selepas menerima sambutan amat menggalakkan daripada kumpulan serta individu yang sudah mengesahkan penyertaan mereka untuk sesi latihan khas bersempena perlawanan berkenaan.

Tangkap layar didedahkan oleh Functional Tennis di Instagram menunjukkan bahawa sesi latihan peribadi dengan Nadal atau Alcaraz berharga AS$150,000 (RM718,500) setiap seorang dan untuk klinik secara berkumpulan pula adalah AS$50,000 (RM239,500).

Harga akan menurun untuk pemain yang kurang ternama, contohnya seperti pemain nombor satu Amerika Syarikat (AS), Taylor Fritz serta Frances Tiafoe yang akan mengenakan bayaran AS$25,000 (RM119,700) setiap seorang.

Manakala bekas bintang Amerika, John Isner dan Sam Querrey sebagai perbandingan akan mengenakan bayaran yang lebih berpatutan iaitu AS$2,000 (RM9,500) seorang.

Las Vegas ialah sebuah bandar yang terkenal dengan kekayaannya dan nampaknya peminat terdesak untuk meluangkan masa bersama dua sensasi Sepanyol itu, namun caj yang mahal itu mendapat pelbagai reaksi di media sosial, menyedari kedua-duanya sudah pun memiliki kekayaan.

"Ini sesuatu yang gila. Kedua-dua pemain ini adalah bilionair tetapi mengenakan bayaran AS$150,000 setiap seorang untuk sesi kejurulatihan?.

"Bukankah lebih baik untuk memberi sesi bimbingan percuma kepada kanak-kanak atau keluarga berpendapatan rendah yang serba kekurangan?" tulis seorang peminat di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:51 PM