KELVIN Kiptum terbabit dengan kemalangan kereta 11 Februari lalu. FOTO AFP
KELVIN Kiptum terbabit dengan kemalangan kereta 11 Februari lalu. FOTO AFP
AFP

Nairobi: Sensasi maraton Kenya, Kelvin Kiptum yang terbunuh dalam kemalangan kereta, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala, kata seorang pemeriksa perubatan.

Pemegang rekod maraton dunia itu meninggal dunia pada 11 Februari lalu pada usia 24 tahun selepas terbabit kemalangan berhampiran rumahnya di kawasan Eldoret di Lembah Rift Kenya.

"Kami mendapati mendiang Kelvin mengalami kecederaan parah di kepala dan terdapat keretakan teruk yang kebanyakannya di pangkal tengkorak," kata ketua pakar patologi kerajaan, Johansen Oduor.

Kiptum juga mengalami patah beberapa tulang rusuk dan mengalami kecederaan pada paru-parunya, kata Oduor.

"Kami telah mengambil sampel untuk analisis lanjut kerana keadaan kematian masih dalam siasatan," katanya lagi.

Polis berkata Kiptum memandu sekitar jam 11 malam apabila keretanya terbabas dari jalan raya dan melanggar sebatang pokok.

Jurulatihnya dari Rwanda, Gervais Hakizimana, 36, juga maut dalam kemalangan itu manakala seorang lagi penumpang iaitu seorang wanita, cedera.

Kiptum, bapa kepada dua anak, akan dikebumikan esok di rumah keluarganya di Chepsamo berhampiran Eldoret.

Kiptum muncul dalam kancah maraton pada 2022 dengan penampilan sulung yang menakjubkan untuk jarak 42.195km di Valencia dengan mencatat masa 2 jam 01 minit 53 saat.

Dia memecahkan rekod dunia di Chicago pada Oktober tahun lalu, 34 saat lebih pantas dari rekod sebelumnya yang dilakukan oleh pesaingnya dari Kenya, Eliud Kipchoge.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 9:50 AM