SHAHMALARANI raih emas di Cyprus.
SHAHMALARANI raih emas di Cyprus.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet karate yang mengharumkan nama negara, C Shahmalarani mengakui kejayaan menyumbangkan emas di Kejohanan Karate 1 Siri A Persekutuan Karate Dunia (WKF) di Larnaca, Cyprus menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus melakar kejayaan lebih gemilang selepas ini.

Emas itu mampu menjadi tonik berharga buat dirinya apabila membuka musim 2024 dengan emas di peringkat dunia. Antara yang akan menjadi fokus utama buat atlet yang beraksi di bawah kategori 50 kilogram (kg) itu adalah untuk mempertahankan emas dimenanginya di Sukan Sea Thailand tahun depan.

"Saya gembira kerana berjaya mendapat emas di peringkat dunia dan emas pertama untuk tahun ini. Perjalanan tahun ini masih panjang dan banyak lagi kejohanan tawarkan mata untuk ranking. Tahun ini tak ada temasya besar seperti Sukan Sea atau Sukan Asia tapi ada kejohanan yang memberikan mata ranking.

"Jadi kejohanan seperti ini penting untuk saya timba pengalaman dan biasakan diri dengan persaingan di pentas dunia. Saya perlu bersiap sedia dari sekarang untuk pertahankan emas di Sukan Sea nanti," katanya yang meraih emas di Kemboja 2023 dan Vietnam 2021.

Terdahulu Shahmalarani, 25, meraih emas di Larnaca selepas menewaskan atlet Sepanyol, Eva Rodriguez 9-5 untuk meraih pingat emas pertamanya bagi musim 2024.

Kejayaan itu sedikit sebanyak menebus kekecewaannya di pentas Sukan Asia Hangzhou apabila terkandas di pusingan 16 terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 4:06 PM