SHARUL ketika beraksi di temasya Sukan Asia Hangzhou. -FOTO NSTP
SHARUL ketika beraksi di temasya Sukan Asia Hangzhou. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet gimnastik artistik negara Sharul Aimy Kamaru Hisam mahu memastikan impiannya untuk meraih tiket ke temasya Olimpik Paris menjadi kenyataan berdasarkan kepada penyertaan di kejohanan antarabangsa tahun ini.

Sharul Aimy yang berasal dari Terengganu itu berkata, dia kini giat menjalani latihan dalam usaha meraih kejayaan positif pada penyertaan di kejohanan Piala Dunia dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, kejayaan meraih gangsa di temasya Sukan Asia di Hangzhou menjadi peniup semangat untuk beraksi lebih baik sekali gus melayakkan diri ke pentas Olimpik Paris.

"Harapan saya sepanjang tempoh 2024 dapat meraih kejayaan positif untuk layak ke sukan Olimpik di Paris.

"Pada masa sama, saya mahu memperbaiki pencapaian diri berbanding tahun sebelum ini selain turut bebas daripada sebarang kecederaan," katanya.

Mengikut rekod, atlet negara itu ketika ini dalam siri latihan di luar negara sebelum menyertai empat Piala Dunia Gimnastik Artistik di Kaherah (Mesir), Cottbus (Jerman), Doha (Qatar) dan Baku (Azerbaijan).

Pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu sebelum ini mencipta sensasi apabila berjaya menamatkan penantian 17 tahun skuad gimnastik untuk memenangi pingat di Sukan Asia selepas kali terakhir dilakukan Ng Shu Wai yang merangkul perak di Doha 2006 dalam acara sama.

Selain itu, atlet berusia 22 tahun itu mengakui jadualnya sepanjang tempoh 2024 cukup padat sekali gus perlu mempersiapkan mental dan fizikal dalam mengharungi cabaran itu.

"Saya memang tiada cuti selepas Sukan Asia dan terus fokus untuk latihan Piala Dunia tahun ini. Kejohanan itu sangat penting sebab ia adalah peluang terakhir untuk saya layak ke Sukan Olimpik dan jika terlepas saya terpaksa tunggu edisi seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 2:04 PM