AARON-WOOI YIK akan turun beraksi di Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou. -FOTO NSTP
AARON-WOOI YIK akan turun beraksi di Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Semua ibarat aksi final, jelas beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan diharungi pada saingan Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China dari 13 hingga 17 Disember ini.

Menurut Wooi Yik, setiap perlawanan adalah sangat penting dalam misi mereka menghapuskan badi terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga penampilan sebelum ini.

"Peluang untuk setiap beregu mencatatkan kemenangan adalah 50-50 memandangkan kejohanan ini menghimpunkan lapan pasangan terbaik (dalam ranking Jelajah Dunia BWF)," katanya.

Ujar Wooi Yik, apabila berdepan dengan pasangan terbaik, mereka perlu sentiasa fokus dan menerapkan strategi permainan yang betul selain tidak boleh buat banyak kesilapan mudah.

"Untuk permulaan, kami sasarkan untuk keluar daripada peringkat kumpulan kerana sebelum ini tiga kali kami gagal melakukannya. Kami benar-benar berharap boleh lepasi peringkat kumpulan kali ini," katanya.

Pasangan nombor tiga dunia itu sebelum ini tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2019, 2020 dan 2022.

Tujuh lagi pasangan yang layak pada edisi 2023 adalah beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia).

Mengikut format pertandingan, kesemua lapan pasangan akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan dua gandingan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir.

Majlis undian peringkat kumpulan dijadual berlangsung Isnin ini.

Kejohanan akhir musim itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$2.5 juta (RM11.68 juta) kepada pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 1:20 PM