PENGURUS Besar KOM, Nurhayati Karim.
PENGURUS Besar KOM, Nurhayati Karim.
Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan membawa masuk sembilan jurulatih baharu membabitkan tiga saluran utama iaitu acara pecut, padang dan decatlon.

Menurut Pengurus Besar KOM, Nurhayati Karim, jawatan jurulatih utama itu akan diberikan kepada pengendali luar dan pada masa sama akan dibantu oleh jurulatih tempatan.

Jelasnya, KOM masih dalam proses melihat tatacara pemilihan jurulatih bersesuaian sebab mereka juga hendak membuka peluang kepada jurulatih tempatan untuk memohon menjadi ketua jurulatih mengikut jurusan yang akan diberitahu kelak.

"Kita akan tambah jurulatih dan tiga ketua jurulatih setiap acara ini kita akan lantik dari jurulatih luar dan jurulatih tempatan boleh belajar serta menambah ilmu dengan mereka ini.

"Kita sudah ada senarai nama tapi belum kenal pasti mereka yang akan dilantik. Dalam masa terdekat, kita akan aturkan segalanya dan buat keputusan.

"Kita nak meningkatkan kemahiran jurulatih tempatan dan kita juga memperhalusi program untuk membawa masuk jurulatih asing dalam membantu jurulatih tempatan meningkatkan ilmu mereka dalam latihan di samping melatih atlet," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK).

Beliau berkata, ketika ini kem olahraga kebangsaan mempunyai 17 jurulatih dan KOM akan menambah lagi beberapa jurulatih lain tanpa menyingkirkan mana-mana jurulatih.

"Setakat ini kita belum ada mana-mana jurulatih secara khusus lagi namun kita akan jangka dalam masa terdekat kita akan tahu kesemua itu dan jurulatih yang ada ini kita akan kekalkan mereka."

Menurutnya, kesemua nama itu akan diketahui bulan ini kerana mereka yang dilantik akan mula bertugas pada awal tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 5:19 PM