TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelancaran Sandbox Teknologi Sukan dijangka mampu untuk memastikan teknologi dapat dimanfaatkan semua jenis sukan di negara ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, inisiatif berkenaan membuka peluang kepada industri mencari jalan memanfaatkan teknologi dalam sukan dengan penggunaan kos lebih rendah.

"Penggunaan teknologi selalunya menelan kos tinggi, jadi institut pengajian tinggi digalakkan untuk guna platform kajian dan pembangunan membantu menggunakan teknologi sukan dengan kos lebih rendah berbanding sekarang," katanya pada sidang media selepas pelancaran Sandbox Teknologi Sukan, semalam.

Ujar Adam Adli, melalui inisiatif itu, Institut Sukan Negara (ISN) bakal dipertanggungjawabkan untuk terus memastikan adanya jaringan antara industri dan persatuan sukan dengan pihak luar yang boleh membantu dalam perkembangan berkenaan.

"Saya kira satu langkah baik apabila sukan berteknologi tinggi seperti berbasikal contohnya kita boleh bawa (teknologi basikal) sehingga kepada penggunaan basikal itu dalam kejohanan temasya untuk kegunaan atlet negara," katanya.

Sandbox Teknologi Sukan berperanan sebagai sebuah platform ujilari dan regulatori bagi pembangunan dan pengkomersialan produk dan program tempatan berkaitan teknologi dan inovasi sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 10:14 PM